Selasa, 26 Jun 2018

PKR Mungkin Dapat Paling Banyak Jawatan Dalam Kabinet



PETALING JAYA: Barisan penuh Kabinet yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menyaksikan PKR mendapat lebih banyak jawatan berbanding 4 parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Satu senarai yang ditunjukkan kepada Free Malaysia Today (FMT) menunjukkan 4 lagi nama daripada PKR akan dilantik sebagai menteri, manakala 7 pemimpin lain daripada parti itu menjadi timbalan menteri.

Ini bermakna daripada 28 portfolio Kabinet, 7 menteri daripada PKR.

Menteri tambahan daripada PKR termasuk Datuk Saifuddin Abdullah sebagai menteri luar; Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna; Dr Xavier Jayakumar sebagai menteri air, tanah dan sumber asli; serta Baru Bian sebagai menteri kerja raya.

Pemimpin lain yang dilantik sebagai menteri ialah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad sebagai menteri Wilayah Persekutuan; Teresa Kok sebagai menteri industri utama; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai menteri belia dan sukan; serta Datuk Mujahid Yusof Rawa sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal Islam.

Seorang lagi menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah Datuk Liew Vui Keong daripada Parti Warisan Sabah (Warisan), mungkin bertanggungjawab terhadap hal ehwal undang-undang.

Dua lagi menteri dari Warisan adalah Darell Leiking (perdagangan antarabangsa dan industri) serta Datuk Mohamad Din Ketapi (pelancongan, seni dan budaya).

Seramai 24 timbalan menteri juga dijangka diumumkan, antaranya termasuk Hannah Yeoh sebagai timbalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; R Sivarasa (timbalan kepada Rina Harun di Kementerian Pembangunan Luar Bandar), Datuk Mahfuz Omar (timbalan kepada M Kulasegaran di Kementerian Sumber Manusia), Ong Kian Ming (timbalan kepada Leiking di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Shamsul Iskandar Akin (timbalan kepada Teresa Kok di Kementerian Industri Utama), Hanipa Maidin (timbalan menteri hal ehwal undang-undang), Fuziah Salleh (timbalan menteri hal ehwal Islam) dan Chong Chieng Jen (timbalan kepada Saifuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna).

Berikut ialah kemungkinan pecahan wakil 5 parti komponen PH dalam senarai penuh Kabinet.

Menteri:

PKR 7
PPBM 6
DAP 6
Amanah 5
Warisan 3

Timbalan menteri:

PKR 7
DAP 6
Amanah 5
PPBM 4
Warisan 2

Secara keseluruhan, ada 5 wanita dalam senarai menteri dan 4 sebagai timbalan menteri.

FMT tidak dapat mengesahkan jika ini adalah senarai muktamad barisan Kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "PKR Mungkin Dapat Paling Banyak Jawatan Dalam Kabinet" bertarikh 26 Jun 2018)