Khamis, 12 Mac 2020

Covid-19: Gereja Katolik Hentikan Misa Untuk Dua Minggu


PETALING JAYA: Gereja Katolik Malaysia telah menghentikan misa di Semenanjung Malaysia selama dua minggu sebagai langkah berjaga-jaga untuk menyekat penyebaran Covid-19.

Dalam satu kenyataan, tiga diosis, iaitu Diosis Kuala Lumpur, Diosis Pulau Pinang dan Diosis Melaka-Johor, berkata mereka telah mengambil keputusan untuk melaksanakan langkah-langkah tambahan untuk menghindarkan penyebaran seterusnya penyakit itu.

Ini melibatkan pemberhentian sementara semua misa awam pada hujung minggu dan hari-hari biasa dari 14 Mac ke 29 Mac. 

"Dengan itu kami mengecualikan semua umat Katolik dari menunaikan kewajipan Ahad mereka dalam membantu atau menghadiri misa dalam tempoh ini. Pengecualian ini adalah langkah sementara ketika berhadapan krisis semasa ini.

"Kami akan terus memantau dan menilai semula keadaan untuk menentukan jika tempoh pemberhentian di atas perlu dilanjutkan selepas 29 Mac," kata Gereja itu. 

Kenyataan itu yang dikeluarkan pada hari Khamis (12 Mac) telah ditandatangani oleh Bishop Pulau Pinang, Sebastian Francis, Archbishop Kuala Lumpur, Julian Leow, dan Bishop Melaka-Johor, Bernard Paul.

Gereja juga telah memberhentikan semua kelas-kelas katekisme dan membatalkan semua program dan acara katekisme, termasuk sesi-sesi pertemuan dan persekutuan.

Gereja juga meminta agar perkahwinan dan pengebumian diadakan secara tertutup, dengan bilangan tetamu yang terhad.

Namun begitu, Gereja berkata paderi-paderi masih dikehendaki untuk menjalankan misa secara peribadi, dan bahawa gereja-gereja, kapel-kapel dan bilik-bilik doa akan terus dibuka.

Gereja juga berkata Diosis Kuala Lumpur sedang membuat persediaan untuk menyiarkan misa dalam bahasa-bahasa utama dan misa hari biasa dalam bahasa Inggeris. 

(Dipetik dan diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Covid-19: Catholic Church Suspends Mass For Two Weeks" bertarikh 12 Mac 2020)