Ahad, 22 Mac 2020

Wanita Bukan Muslim Tidak Dapat Kahwin Sebab Kad Pengenalan Salah Catatkannya Sebagai Muslim


KOTA KINABALU: Seorang wanita sedang menghadapi kesukaran untuk berkahwin kerana agamanya dinyatakan secara silap sebagai Islam dalam kad pengenalannya dan sedang merayu untuk bantuan daripada kerajaan. 

Nusiah Pulod dari Kampung Limbuak Darat Pulau Banggi, Kudat berkata dia telah dilahirkan Kristian dan dari dulu hingga sekarang memang Kristian.

Dia berkata bahawa dia menyedari kesilapan itu ketika dia mendapat kad pengenalannya pada hari jadinya yang kedua belas lebih dari 10 tahun yang lalu.

"Ketika saya berusia 12 tahun dan memohon untuk kad pengenalan, saya menyedari bahawa perkataan 'Islam' telah tercatat di kad pengenalan saya," katanya.

"Namun begitu, saya tidak memahami implikasinya pada waktu itu. Hanya kini apabila saya sedang membuat persiapan untuk perkahwinan saya, barulah saya menyedari betapa sukar untuk memperbetulkan maklumat pada kad pengenalan saya," Nusiah berkata. 

Dia berkata kedua-dua ibu bapanya adalah Kristian dan begitu juga tujuh adik beradiknya. 

"Saya tidak tahu bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara boleh mendaftarkan saya sebagai Muslim," katanya.

Nusiah berkata dia telah berusaha memperbetulkan perkara itu dari tahun lepas selepas pertunangannya, tetapi bukannya untuk memudahkan urusannya, pelbagai jabatan yang dikunjunginya, termasuk Jabatan Agama Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara, telah mengarahkannya ke sana sini. 

"Saya cuba berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara di Kudat, tetapi diarahkan ke Jabatan Agama Islam di Kudat. Di situ saya dimaklumkan bahawa mereka tidak memiliki rekod saya maka tidak dapat mengeluarkan pengesahan status agama untuk saya," katanya. 

"Mereka kemudian memberitahu saya untuk pergi ke pejabat Majlis Ugama Islam Sabah di Kota Kinabalu untuk mendapatkan pengesahan. Di situ, pegawai itu meminta saya menulis surat rasmi untuk memeriksa status saya yang kemudiannya saya kemukakan," katanya.

Nusiah berkata dia telah diarahkan pula ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di Kota Kinabalu di mana dia diminta untuk mengisi satu borang lain untuk memperbetulkan maklumat.

"Sekarang mereka kata saya perlu tunggu tiga bulan untuk prosesnya tetapi perkahwinan saya telah dijadualkan pada Jun," katanya.

Dia berkata bahawa dia berharap kerajaan dapat membantu mempercepatkan proses pembetulan itu. 

Nusiah merasa bahawa permohonan seperti ini adalah tidak rumit.

Dia mendakwa terdapat ramai lagi yang sepertinya di kampungnya yang menghadapi masalah yang serupa. 

"Apakah ertinya kebebasan agama di negeri ini jika permohonan untuk pembetulan yang mudah berkenaan status agama yang harus dilakukan serta-merta dilambatkan dengan dikenakan prosedur yang rumit?" Nusiah bertanya. 

(Diterjemahkan daripada artikel The Star bertajuk, "Non-Muslim Woman Can't Marry Because IC Wrongly States She's Muslim" yang ditulis oleh Stephanie Lee bertarikh 21 Mac 2020)