Khamis, 4 Jun 2020

Kita Perlukan Kedua-Duanya: Firman Tuhan dan Kuasa Tuhan


Oleh Si Domba Putih:

Saya sangat tertarik dengan catitan seorang pastor yang saya baca di Facebook semalam.

Dalam catitan itu, Pastor Edmund Kumar mengisahkan perjalanan hidupnya dari masa dia dijamah oleh Tuhan sewaktu remaja, kemudian mengikuti sekolah latihan pelayanan, sekolah Alkitab serta pelbagai pengalaman pelayanannya di gereja, di masyarakat dan di alam maya. 

Saya amat tertarik dengan rumusannya selepas perjalanan 20 tahun, pastor itu mengatakan ini, "Tidak ada yang lebih penting daripada ini - Firman Tuhan dan Roh Kudus bekerjasama... Saya masih percaya pada pekerjaan Roh Kudus. Saya masih percaya pada teologi. Dan kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan." 

Sungguh benar apa yang telah dituliskan pastor itu. Firman Tuhan dan pekerjaan Roh Kudus tidak dapat dipisahkan. Sering saja orang akan mengutamakan satu sahaja atau mengesampingkan yang satu lagi.

Saya teringat kata-kata Yesus kepada orang-orang Saduki yang cuba menguji Yesus dengan soalan mereka (Markus 12:24):

Jawab Yesus kepada mereka: "Kamu sesat, justru kerana kamu tidak mengerti Kitab Suci mahupun kuasa Tuhan." 

Kita perlukan kedua-duanya: Firman Tuhan dan kuasa Tuhan.

Beberapa hari lepas adalah hari Ahad Pentakosta, yang dirayakan untuk memperingati pencurahan Roh Kudus atas murid-murid Yesus pada hari Pentakosta. Pada tahun ini, Ahad Pentakosta kebetulan jatuh di tengah-tengah Pesta Menuai (Kaamatan dan Hari Gawai) di Sabah dan Sarawak. 

Bagi saya ini sangat bermakna sebab Hari Pentakosta asal-usulnya dari perayaan menuai umat Israel. Dan apakah kaitannya antara Hari Pentakosta dan Pesta Menuai?

Hari Pentakosta adalah hari pencurahan Roh Kudus ke atas murid-murid Yesus, dan matlamatnya adalah untuk penuaian jiwa-jiwa. Pada hari Pentakosta itu (KPR 2), Petrus telah berdiri dan berkhutbah lalu 3,000 orang bertaubat dan dibaptiskan. Tetapi itu hanyalah permulaan - suatu gerakan Roh Kudus untuk penuaian jiwa-jiwa hinggalah ke seluruh muka bumi. Seperti Yesus katakan:

"Tetapi kamu akan menerima kuasa, kalau Roh Kudus turun atas kamu, dan kamu akan menjadi saksi-Ku di Yerusalem dan di seluruh Yudea dan Samaria dan sampai ke hujung bumi" (KPR 1:8).

Ya, kita perlukan kedua-duanya: Firman Tuhan dan kuasa Roh Kudus.