Sabtu, 19 Februari 2022

Kisah Menakjubkan Aggie Hurst Dan Pekerjaan Tuhan Di Sebuah Kampung Afrika

Aggie Hurst (dengan beg) melawat kampung di Afrika

Pada 1921, sepasang misionari suami isteri bernama David dan Svea Flood telah pergi, bersama anak lelaki mereka yang berusia dua tahun, dari Sweden ke bahagian tengah Afrika - ke tempat yang ketika itu dikenali sebagai Belgian Congo. Mereka bertemu dengan sepasang suami isteri muda lain dari Scandinivia, pasangan Erickson, dan keempat-empat mereka mencari Tuhan untuk pimpinan-Nya. Pada hari-hari itu yang disertai dengan hati yang lembut, kasih dan pengorbanan, mereka merasa dipimpin oleh Tuhan untuk keluar dari stesen misi utama dan pergi membawa Injil ke N'dolera, sebuah kampung terpencil. 

Itu adalah langkah iman yang besar.

David dan Svea Flood, misionari dari Sweden ke Belgian Congo

Di kampung N'dolera, mereka telah ditolak dengan tegas oleh ketua kampungnya, yang tidak ingin mereka memasuki kampung mereka kerana takut membangkitkan kemarahan dewa-dewa tempatan. Dua pasangan suami isteri itu mengambil pilihan untuk mendaki sejauh setengah batu ke atas cerun dan membina di situ rumah tanah liat mereka sendiri.

Mereka berdoa untuk suatu jalan terbuka secara rohani, tetapi tidak ada apa yang berlaku. Satu-satunya komunikasi mereka dengan orang-orang kampung adalah seorang kanak-kanak lelaki yang diberi kebenaran untuk menjual kepada mereka ayam dan telur dua kali seminggu. 

Svea Flood, seorang wanita kecil yang hanya 4 kaki 8 inci tingginya - bertekad bahawa jika itu adalah satu-satunya orang Afrika yang dia boleh bercakap dengan, dia akan berusaha untuk memimpin kanak-kanak itu kepada Kristus. Dan sebenarnya dia berjaya.


Tetapi selain itu, tidak ada hal yang menggalakkan. Sementara itu, malaria mulai menyerang satu persatu daripada pasukan kecil itu. Lepas beberapa waktu, pasangan Erickson mengambil keputusan kembali ke stesen misi utama. 

David dan Svea Flood kekal berdekatan N'dolera untuk meneruskan secara bersendirian. 

Kemudian Svea mendapati dirinya hamil di tengah-tengah kawasan terpencil yang primitif itu. Ketika tiba waktu untuknya melahirkan, ketua kampung berlembut hati untuk membenarkan seorang bidan menolongnya. Seorang anak perempuan dilahirkan dan mereka menamakannya Aina. 

Walaupun begitu, proses bersalin itu amat melesukan, dan Svea Flood juga sudah lemah dari beberapa kali kena malaria. Dia cuma bertahan 17 hari lagi.

Aggie Hurst menziarahi kubur ibunya, Svea Flood

Sesuatu tercetus dalam hati David Flood. Dia menggali suatu kubur yang kasar, mengebumikan isterinya yang berusia 27 tahun dan membawa anak-anaknya turun bukit kembali ke stesen misi utama. Sambil menyerahkan anak perempuannya yang baru lahir kepada suami isteri Erickson, dia berkata dengan marah, "Aku nak balik ke Sweden. Aku dah kehilangan isteriku, aku tak dapat jaga bayi ini lagi. Tuhan telah rosakkan hidupku." Dengan itu dia bertolak ke pelabuhan, menolak bukan saja panggilannya, tetapi juga Tuhan sendiri.  

Dalam masa lapan bulan, kedua-dua suami isteri Erickson terkena suatu penyakit misteri dan meninggal dunia dalam selang masa beberapa hari satu dengan yang lain. Bayi itu kemudian diserahkan kepada sepasang misionari Amerika, yang telah menukar nama asal Swedennya kepada Agnes, atau sebagai singkatnya "Aggie" dan akhirnya mereka membawanya kembali ke Amerika Syarikat ketika usianya 3 tahun.

Aggie bersama ibu bapa angkatnya

Keluarga ini amat menyayangi anak perempuan kecil ini dan bimbang jika mereka kembali ke Afrika, suatu halangan undang-undang akan memisahkannya dari mereka. Dengan itu, mereka mengambil keputusan kekal di negara asal mereka dan bertukar dari kerja misionari kepada pelayanan penggembalaan. Dan itulah bagaimana Aggie telah membesar di South Dakota. Sebagai seorang gadis muda, dia telah mengikut pengajian di North Central Bibble College di Minneapolis. Di situ dia telah bertemu dan berkahwin dengan seorang pemuda bernama Dewey Hurst.

Aggie Hurst

Tahun demi tahun berlalu. Suami isteri Hurst menikmati pelayanan yang berhasil. Aggie melahirkan pertamanya seorang anak lelaki dan kemudiannya seorang anak perempuan. Lewat waktu, suaminya menjadi presiden sebuah kolej Kristian di kawasan Seattle. 

Pada suatu hari, suatu majalah agama Sweden muncul di peti suratnya. Dia tidak tahu siapa yang menghantarnya dan dia tidak dapat membaca tulisannya. Tapi sambil dia membelek majalah itu, suatu foto mengejutkannya. Di situ dalam keadaan primitif terdapat sebuah kubur dengan kayu salib putih, dan di atas kayu salib itu tertulis nama Swea Flood. 

Salib di kuburan yang tercatit nama Svea Flood

Aggie bergegas ke dalam kereta dan pergi terus untuk menemui seorang falkulti kolej yang dapat menterjemahkan artikel itu. Pensyarah itu meringkaskan kisahnya: Artikel itu mengenai misionari-misionari yang telah datang ke N'dolera lama dahulu... kelahiran seorang bayi... kematian seorang ibu yang muda... seorang kanak-kanak lelaki yang telah dibawa mengenal Kristus. Dan bagaimana selepas misionari-misionari itu telah pergi, kanak-kanak lelaki itu telah dewasa dan menyakinkan ketua kampung itu untuk mengizinkannya membina sebuah sekolah di kampung itu. Lama-kelamaan dia telah memenangkan semua murid-muridnya kepada Kristus. Anak-anak itu pula telah membawa ibubapa-ibubapa mereka kepada Kristus. Ketua kampung sendiri pun menjadi Kristian. Kini ada 600 orang Kristian di dalam kampung itu. 

Semuanya kerana pengorbanan David dan Svea Flood.

Pasangan Misionari David dan Svea Flood

Untuk ulang tahun perkahwinan ke-25 suami isteri Hurst, kolej itu memberikan mereka hadiah percutian ke Sweden. Di situ, Aggie berusaha untuk mencari ayahnya yang sebenar. Kini sudah tua, David telah berkahwin semula, dan mendapat empat anak lagi, menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan alkohol. Kebelakangan itu dia telah mengalami strok. Masih penuh kepahitan, dia ada peraturan dalam keluarganya: "Jangan pernah menyebut Nama Tuhan - sebab Tuhan telah mengambil segalanya daripadaku."

Setelah pertemuan penuh emosi dengan adik-adik tirinya, Aggie membangkitkan soal pertemuan dengan ayahnya. Adik-adik tirinya mulai teragak-agak. "Kamu boleh bercakap dengannya," jawab mereka, "walaupun dia amat uzur sekarang. Tapi kamu perlu tahu bahawa bila-bila dia mendengar Nama Tuhan, dia akan menjadi amat marah." 

Ayahnya tinggal di sebuah bangunan lama di Stockholm

Aggie tidak mudah putus asa. Dia memasuki apartmen yang kotor dan bersepah itu, dengan botol arak merata-rata, dan mendekati lelaki berusia 73 tahun yang berbaring di atas katil yang renyuk.

"Papa?" dia bertanya dengan tidak pasti.

Lelaki tua itu menoleh kepadanya dan mulai menangis, "Aina," dia berkata, "Aku tidak bermaksud untuk menyerahkan engkau kepada orang lain."  

"Tak apa-apa, Papa," jawabnya sambil memeluk ayahnya dengan lembut dengan lengannya. "Tuhan telah menjagaku."

Lelaki tua itu serta-merta terkaku. Air matanya terhenti mengalir.

"Tuhan telah lupakan kita semua. Hidup kita jadi seperti ini kerana Dia." Dia memalingkan muka ke dinding lagi. Aggie membelai muka ayahnya dan kemudian meneruskan tanpa putus asa.

"Papa, aku ada satu kisah kecil untuk Papa, dan ini kisah benar. Papa tidak sia-sia pergi ke Afrika. Mama tidak sia-sia mati. Kanak-kanak lelaki yang Papa, Mama menangkan kepada Tuhan telah dewasa dan telah memenangkan seluruh kampung itu kepada Yesus Kristus. Sebutir benih yang Papa, Mama tanamkan terus bertumbuh dan bertumbuh. Kini ada 600 orang Afrika yang melayani Tuhan sebab Papa, Mama setia dalam panggilan Tuhan dalam hidupmu."

"Sebutir benih yang Papa, Mama tanamkan terus bertumbuh dan bertumbuh. Kini ada 600 orang Afrika yang melayani Tuhan sebab Papa, Mama setia dalam panggilan Tuhan dalam hidupmu."

"Papa, Yesus mengasihimu. Dia tidak pernah membencimu."

Lelaki tua itu menoleh kembali untuk merenung mata anak perempuannya. Tubuhnya mulai santai. Dia mula bercakap. Pada hujung petang itu, dia telah datang kembali kepada Tuhan yang telah dibencinya selama berdekad-dekad. 

Dalam beberapa hari seterusnya, ayah dan anak perempuan meluangkan waktu pergaulan yang rapat bersama-sama. Aggie dan suaminya dalam sedikit waktu sudah perlu kembali ke Amerika - dan dalam masa beberapa minggu, David Flood telah melangkah masuk ke alam kekal. 

Beberapa tahun kemudian, suami isteri Hurst sedang menghadiri satu persidangan penginjilan di London, England, di mana satu laporan sedang disampaikan mengenai negara Zaire (yang dulunya Belgian Congo). Ketua gereja kebangsaan itu, yang mewakili 100,000 orang  Kristian yang telah dibaptis telah berucap dengan lancar mengenai penyebaran Injil di negaranya. Aggie tak dapat tidak ingin menanya lelaki itu selepas ucapannya jika dia pernah mendengar mengenai David dan Svea Flood.

"Ya, Puan," lelaki itu menjawab dalam bahasa Perancis, kata-katanya kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. "Svea Flood yang telah membawa aku mengenal Yesus Kristus. Sayalah kanak-kanak lelaki yang membawa makanan kepada ibu bapamu sebelum kamu dilahirkan. Sebenarnya, sehingga ke hari ini, kuburan ibumu dan peringatan akannya dikenang dengan penuh hormat oleh kami semua." 

Dia memeluk Aggie dalam pelukan yang lama dan penuh tangisan. Kemudian dia meneruskan, "Kamu mesti datang melihat di Afrika, sebab ibumu adalah orang paling terkenal dalam sejarah kami."

Aggie dan suaminya mengunjungi stesen misi N'dolera, Congo

Lepas beberapa waktu, itulah yang dilakukan oleh Aggie Hurst dan suaminya. Mereka disambut oleh khalayak ramai penduduk kampung yang bersorak. Dia juga bertemu dengan seorang lelaki yang telah diupah oleh ayahnya bertahun-tahun lalu untuk memangkunya turun bukit dengan kain sarung.

Detik yang paling dramatik adalah ketika pastor itu mengiringi Aggie untuk melihat sendiri salib putih ibunya. Dia berlutut untuk berdoa dan mengucap syukur. Kemudiannya di gereja, pastor itu membaca dari Yohanes 12:24: "Aku berkata kepadamu: Sesungguhnya jikalau biji gandum tidak jatuh ke dalam tanah dan mati, ia tetap satu biji saja; tetapi jika ia mati, ia akan menghasilkan banyak buah." Dia kemudian menyambungnya dengan Mazmur 126:5, "Orang-orang yang menabur dengan mencucurkan air mata, akan menuai dengan sorak-sorai.

(Diterjemahkan daripada artikel Decision bertajuk "A Harvest From A Single Seed: The Amazing Story of Aggie Hurst and God's Work in An African Village" oleh Jim Cymbala dengan Dean Merrill bertarikh 1 Januari 2019)