Rudy Hartono |
Di sebalik wajah Rudy Hartono yang ceria adalah kisah seorang bintang handalan yang hampir terlerai hidupnya.
Selepas menguasai dunia badminton selama satu dekad dari penghujung 1960an, warga Indonesia keturunan Cina itu mendapati bahawa usia tua, kekalahan dan perhatian dari orang ramai yang semakin luntur terlalu sukar untuk dihadapi.
Usia Muda Hartono
Dilahirkan dengan nama Nio Hap Liang pada 18 Ogos 1949 di Surabaya, anak ketiga dari lapan adik beradik mengelarkan dirinya sebagai seorang anak muda yang "gila sukan."
Dilahirkan dengan nama Nio Hap Liang pada 18 Ogos 1949 di Surabaya, anak ketiga dari lapan adik beradik mengelarkan dirinya sebagai seorang anak muda yang "gila sukan."
Pada usia 11 tahun, dia sudah mula berlatih dalam kelab badminton yang kecil yang telah diasaskan oleh ayahnya dalam gedung stor di stesyen keretapi. Dia selalu menghabiskan keseluruhan harinya di situ.
Rudy Hartono juara perseorangan lelaki All-England sebanyak lapan kali, rekod yang bertahan sehingga kini |
Berusia hanya 15 tahun, dia telah menyertai latihan berpusat Piala Thomas.
Pada umur 17 tahun, dia telah menjadi sebahagian daripada pasukan Indonesia yang tewas kepada Malaysia dalam Peringkat Akhir Piala Thomas 1967.
Kebangkitannya menjadi bintang ternama bermula selepas dia memenangi kejuaraannya yang pertama dari lapan kejuaraan All-England miliknya - dengan menewaskan seorang juara All-England, Tan Aik-Huang dari Malaysia. Hartono hanya berusia 18 tahun ketika itu.
"Aku sentiasa berazam untuk menjadi juara - tiada kurang daripada itu." katanya. "Ianya bukan hasil daripada kerja kuat sehari dua.
"Kejuaraan All-Englandku yang pertama adalah hasil daripada 10 tahun berlatih dengan penat lelah dan tekun.
"Falsafahku mudah sahaja - berlatih, berlatih lebih kuat, dan kemudian berlatih lebih kuat lagi sehingga anda menang."
Usia Yang Meningkat
Usia Yang Meningkat
Tetapi akhirnya usianya sudah meningkat dan dengan tiba-tiba dia terpaksa mengalami kekalahan dalam perlawanan-perlawanan. Dia tidak dapat menghadapi tekanan itu dan merasa kasihan pada dirinya sendiri serta menganggap dirinya seorang yang kalah besar dalam kehidupan.
Svend Pri menghentikan deretan kemenangan Hartono dalam All-England pada 1975. Dua tahun sebelumnya, Pri juga mengalahkan pemain Indonesia itu dalam akhir Piala Thomas.
Hartono pada kemuncak kehandalannya |
Kemenangan manis terakhir Hartono adalah ketika dia mengalahkan bakal penggantinya, Liem Swie King, pada Kejohanan Dunia 1980 di Jakarta.
Kekalahannya kepada Luan Jin pada perseorangan ketiga semasa Peringkat Akhir Piala Thomas 1982 menentang China menandakan penghujung yang sedih dalam kerjayanya. Dia berumur 33 tahun.
"Aku berasa sungguh murung. Tidak ada damai dalam hatiku," Hartono mengingat kembali. "Aku mahu sentiasa menjadi bintang handalan dan telah meletak jangkaan tinggi pada diriku. Aku mahu lebih dan lebih lagi. Aku telah memenangi lapan kejuaraan All-England dan aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa aku tidak dapat menang lagi."
Damai Dalam Hati
Damai Dalam Hati
Pada waktu yang bercelaru ini dalam hidupnya dia telah mendapat penghiburan dalam agama.
"Aku telah menemukan Yesus Kristus dan percaya bahawa hanya Tuhan yang dapat memberikan aku damai dalam hati," katanya.
"Aku pernah melihat mukjizat Tuhan sebelumnya. Aku berdoa untuk pertolongan-Nya dan Dia menolong aku memenangi kejuaraan All-Englandku yang pertama. Aku berseru kepada-Nya lagi ketika berlangsung Kejohanan Dunia dan Dia menolongku menewaskan Swie King."
Kematian kawan baiknya Pri yang begitu tragis memberi perangsang kepada Hartono untuk menjadi seorang pengkhabar Injil.
Pada suatu hari, dia bertembung dengan Pri di Denmark. Dia telah mendengar bahawa bekas pemain Denmark itu pernah cuba membunuh diri kerana masalah keluarga dan kewangan.
Hartono berkata; "Kami telah mengatur untuknya supaya datang ke Indonesia. Tetapi aku tunggu dan tunggu dan selepas dua bulan, aku dapat tahu bahawa dia telah mengambil nyawanya sendiri. Aku sungguh kecewa. Aku tahu bahawa Tuhanlah satu-satu harapan baginya. Kejadian ini telah memberi aku dorongan untuk menjadi seorang pengkhabar Injil."
Pembedahan Jantung
Pembedahan Jantung
Hartono menjadi lebih gigih lagi dalam imannya selepas menjalani pembedahan jantung pada 1998.
"Aku memberitahu doktor pakar Australia itu bahawa sebelum itu aku telah menantikan Tuhan untuk menyembuhkan aku. Dia mengetepikan kataku dan mengatakan bahawa dialah saja yang dapat menyembuh aku." kata Hartono.
"Apabila aku tidak berhenti berdarah semasa pembedahan dan semasa aku dalam keadaan tidak sedar, doktor yang sama itu memberitahu isteriku supaya berdoa. Dan secara ajaibnya aku selamat daripada keadaan yang menakutkan itu."
Meskipun terlibat dalam aktiviti-aktiviti gerejanya, badminton masih dekat di hati Hartono.
Dia tidak menjangka ada sesiapa yang akan memecahkan rekodnya memenangi lapan kejuaraan All-England dan berasa itu adalah baik untuk sukan itu.
Dia telah memenangi tujuh kejuaraan secara berturut-turut antara 1968 ke 1974 dan kejuaraan ke lapan pada 1976.
"Beberapa jenis sukan seperti perlumbaan motor dan perlumbaan basikal kini menghadapi kemunduran sokongan kerana hanya seorang saja yang asyik menang setiap masa," katanya.
"Adalah baik apabila wujud beberapa pemain yang sentiasa berusaha mengatasi satu sama lain. Dengan itu sukan ini akan tetap diminati."
(Diterjemah dari artikel The Straits Times bertarikh 16 November 2004)
Untuk artikel asal dalam Bahasa Inggeris, Sila Klik Di Sini
Baca juga Rudy Hartono: 'Berdoa' Kunci Kejayaan