Sidney Mohede dikenali ramai sebagai salah seorang pemimpin penyembahan dan penulis lagu Kristian paling berpengaruh di Indonesia pada hari ini. Sidney telah merekod, menerbitkan atau melibatkan diri dalam lebih 35 album. Banyak daripada album itu daripada band yang pernah dianggotainya, Giving My Best (GMB); sementara lebih daripada sedozen adalah album-album yang dibuat dengan team penyembahan True Worshippers. Seorang penulis lagu yang cergas, dia juga telah menulis atau menulis bersama lebih daripada 200 lagu.
Petikan yang berikut diterjemahkan daripada artikel M.E.X. Magazine berjudul ‘Sidney Mohede: The Interview’ bertarikh 17 April 2011:
Sidney telah dilahirkan di Indonesia tetapi telah menghabiskan sejumlah besar zaman kanak-kanaknya dan awal kedewasaannya di dunia Barat. Dua cara hidup yang sangat berbeza yang tidak dialami kebanyakan orang.
“Membesar di Indonesia adalah pengalaman yang hebat. Aku dilahirkan dan dibesarkan di Jakarta sehingga umur 10 tahun dan telah menghabiskan zaman kanak-kanakku seperti kanak-kanak yang biasa. Aku memanjat pokok, bermain layang-layang dan terlibat dalam banyak kenakalan. Kemudiannya, ibubapaku bercerai dan aku dengan dua adik beradik perempuanku telah mengikut ibuku memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat. Itu terjadi semasa awal 80an. Tentu sekali, ianya merupakan suatu peralihan hidup yang sangat sukar untuk membesar sebagai seorang kanak-kanak dari Indonesia yang tinggal di California Selatan. Tetapi aku telah melaluinya juga, haha.”
Berpindah ke penjuru dunia yang berbeza sama sekali adalah sangat sukar untuk seorang kanak-kanak. Apalagi mengalami perpecahan keluarga juga semestinya sulit sekali bagi Sidney yang masih kecil. Apabila seseorang dikeluarkan dari zon nyamannya, adalah sangat susah untuk menyesuaikan diri dan hidup dalam suasana baru.
“Apabila kami berpindah ke Amerika, aku menghadapi waktu yang sangat sukar sambil membesar dan menjadi sangat memberontak semasa Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Menengah Atas. Pada waktu aku berumur 16 tahun aku sering terjebak dalam banyak permasalahan, melakukan hal-hal yang memudaratkan bagi diri saya dan orang lain. Pada umur 17, aku tahu aku perlu seseorang untuk menyelamatkanku, dan oleh kerana aku pernah ke gereja sewaktu lebih muda, akupun mengucapkan doa yang ringkas ini kepada Tuhan, ‘Jika Engkau benar-benar mengasihiku, seperti yang dikatakan semua orang, tunjukkkanlah kepadaku, sebab aku memerlukan pertolongan.’ Tidak lama daripada itu, aku dijemput oleh seorang kawan untuk pergi ke sebuah gereja (sedangkan aku tidak pernah ikut sembahyang di gereja selama beberapa tahun sebelum panggilan telefon itu).”
Keadaan yang menakjubkan sekali bahawa tidak kira apa yang kita buat atau ke mana kita pergi, tiada apapun yang dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan. Sungguhpun kita berpaling daripada Dia, Dia tidak berpaling daripada kita. Yang luar biasa sekali, sungguhpun Sidney tidak memiliki hubungan yang nyata dengan Tuhan, oleh kerana dasar Kekristianan yang ada dalam hidupnya pada usia lebih muda, dia tahu apa yang harus dilakukan apabila tidak ada apa yang boleh diusahakan lagi.
“Apabila aku pergi ke gereja di mana kawanku telah mengundangku, pengkhutbah itu menunjuk kepadaku dari antara khalayak ramai itu dan meminta aku maju ke hadapan. Apabila aku sampai ke bahagian depan gereja, dia meletakkan mikrofonnya, datang kepadaku dan memelukku dengan erat sambil berbisik, “Anakku, Tuhan sangat sayang padamu, dan Dia ingin engkau kembali.” Aku tidak dapat melupakan saat itu. Itu adalah jawapan bagi doaku. Aku memberikan hatiku dan hidupku kepada Yesus dan bermulalah proses penyembuhan dan hidup yang tunduk kepada panggilan-Nya. Itu berlaku 21 tahun yang lalu dan aku masih hidup dalam kasih karunia dan dengan kesyukuran atas penyelamatan-Nya."
Peristiwa yang sama juga telah diceritakan oleh Majalah Bahana (Petikan berikut ini dipetik dan diterjemah daripada Majalah Bahana):
Sidney mengaku pernah keras kepala saat menjelang masuk Sekolah Menengah Atas, suka pesta, minuman keras dan menghisap candu. “Saya sering pulang pagi dihantar polis dalam keadaan mabuk,” tambahnya. Detik penting dalam hidup Sidney sewaktu kelas tiga Sekolah Menengah Atas. Dia datang ke gereja Indonesia di Los Angeles, seorang pembicara undangan dari Pasadena di tengah khutbahnya berhenti dan menunjuk Sidney yang duduk di bangku paling belakang dan minta Sidney maju ke depan lalu berkata,”Tuhan sayang padamu. Dia ingin engkau kembali.”