Khamis, 15 Disember 2011

Tahukah Anda... Alkitab Kanak-Kanak Telah Diterbitkan?


Tahukah anda bahawa Alkitab Kanak-Kanak telah diterbitkan oleh Wawasan Penabur baru-baru ini? Alkitab ini ternyata cantik dan menarik bagi kanak-kanak. Ianya setebal lebih 400 muka surat penuh warna meliputi kisah dan peristiwa utama dari Kejadian sampai ke Wahyu.

Alkitab Kanak-Kanak ini ialah satu lagi projek Wawasan Penabur untuk membantu membangun dan menguatkan iman kanak-kanak serta orang muda Kristian berbahasa Malaysia. Sejumlah penterjemah dan penyunting terlibat dalam projek ini, bagi memastikan teks diambil langsung dari Alkitab, dengan bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak semuda 5 tahun, tetapi tidak terlalu kekanak-kanakan untuk orang dewasa.  

Antara mukasurat Alkitab Kanak-Kanak

Alkitab Kanak-Kanak ini telah menjadi tumpuan dalam Majlis Pelancaran Kempen “Satu Anak, Satu Alkitab” yang dianjurkan bersama oleh Wawasan Penabur dan NECF pada 26 November 2011. Kempen ini adalah usaha Wawasan Penabur untuk membawakan Alkitab Kanak-Kanak ini kepada setiap kanak-kanak Kristian yang berbahasa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Menurut laman webnya, Wawasan Penabur telah ditubuhkan pada Januari 2009 dan “bertujuan untuk berkerjasama dengan gereja-gereja BM di Malaysia bagi mengembang dan menyebarkan bahan-bahan BM yang terbaik untuk para pemimpin, gereja dan individu. Diilhamkan oleh pemimpin-pemimpin Kristian dari lintas-denominasi, Wawasan Penabur cuba bekerjasama dengan orang Kristian yang komited untuk melayani gereja berbahasa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.”

Wawasan
Penabur

Adakah anda minat mendapatkan Alkitab ini untuk diri anda atau gereja anda? Adakah anda ingin membantu dalam kempen ini?

Sila hubungi Wawasan Penabur melalui; 
laman web mereka www.wawasanpenabur.org 
atau melalui emel wawasan.penabur@gmail.com