Kesaksian Saudara Yun dalam bukunya, "Heavenly Man" |
Semasa ditangkap oleh polis, Saudara Yun memekik, "Aku ialah Manusia Syurgawi. Aku tinggal di Kampung Injil." Dia tidak mahu polis tahu nama dirinya yang sebenar. Pekikannya itu telah menyedarkan saudara-saudara lain yang masih ada di dalam rumah di mana mereka telah mengadakan kebaktian dan mereka sempat melarikan diri. Dari situlah, dia mula digelar "Manusia Syurgawi"...
(Sambungan dari Bahagian 1...)
Saudara Yun dan rakan-rakan sepelayanan memulakan pelayanan “penginjilan sambil melarikan diri”. Ke manapun mereka pergi, orangramai haus untuk mendengarkan Injil. Mereka tidak dapat tinggal sangat lama di satu-satu tempat, kerana menginjil diharamkan ketika itu dan sehingga kini di China. Pada waktu itu, Alkitab sukar benar dicari. Di kalangan ratusan ahli gereja, mereka hanya memiliki senaskah Perjanjian Baru.
Dalam masa 23 tahun pelayanan di China, Saudara Yun telah ditahan dan dihantar ke penjara tiga kali. Dia telah menghabiskan sejumlah tujuh tahun di penjara untuk Injil Yesus Kristus.
Pada penahanannya yang pertama, Saudara Yun sedang melayani di sebuah kebaktian jauh dari rumahnya. Dia telah ditangkap polis dan dicampak ke dalam bilik penjara yang sangat sejuk bersama 4 orang rakan sepelayanannya. Tidak ada udara panas di dalam bilik penjara itu, suhunya di bawah tahap air membeku.
Polis telah membuang jaket Saudara Yun ke padang bersalji semasa penangkapannya. Dia mula menggendang sebuah dram lama dengan gari tangannya dan menyanyi dengan suara yang kuat Mazmur 150. Katanya, “Semakin aku menyanyi, semakin aku dipenuhi sukacita. Aku berdiri dan memuji Tuhan. Lama-kelamaan tangan dan kakiku yang telah kaku mulai ada rasa kembali dan aku tidak kesejukan lagi.”
Itu hanyalah permulaan pegalaman getirnya di penjara. Pada waktu itu, ketika Saudara Yun di bawah jagaan pegawai-pegawai kerajaan, dia berulang kali dipukul dan diseksa dengan peleton elektrik. Dia telah disepak dan diinjak. Dia telah diseksa dengan suntikan jarum di bawah kuku jari tangannya. Dia telah dihina oleh banduan-banduan yang lain. Dia telah digantung tangannya dengan gari tangan semasa dibawa ke tempat lain dalam van sehingga gari tangan yang sejuk itu menghiris pergelangan tangannya sehingga bercucuran darah dan tulang pergelangan tangan pun terdedah.
Ketika melalui semua pengalaman yang perit dan menyakitkan ini, Firman Tuhan terus-menerus datang kepada Saudara Yun, mendorong dia, dan menguatkan dia dalam iman, sehingga dia dapat menghadapi apa jua keadaan tanpa ketakutan.
Buku "Manusia Syurgawi" |
Dalam penahanannya yang pertama di Nanyang, Saudara Yun rasa terdorong oleh Tuhan untuk berpuasa tanpa makan dan minum sehinggalah dia dapat bertemu keluarganya. Puasanya itu secara ajaib bertahan selama 74 hari.
Walaupun dia tidak memiliki Alkitab, dia merenungkan ayat-ayat Firman Tuhan yang telah dihafalnya. Pada waktu itu, dia selalu disoal-siasat dan dipukul. Walaupun tubuhnya bertambah lemah, Yesus menguatkan rohnya melalui Firman Tuhan.
Dari Nanyang, Saudara Yun telah dihantar ke Kem Tahanan Buruh Penjara Xinyang. Semasa di kem tahanan ini, isteri Yun, Deling menggunakan cara-cara yang kreatif untuk membawakan Firman Tuhan kepadanya. Ada satu ketika, dia telah menyeludupkan beberapa bahagian Alkitab dalam sebuku roti! Ayat-ayat Firman Tuhan itu sangat berharga bagi Yun dan orang-orang Kristian baru yang sentiasa dilahirkan daripada kesaksian Saudara Yun.
Setelah dipenjarakan untuk kali kedua, Saudara Yun telah merasakan keperluan melatih para pengikut yang telah ditambah ke dalam gereja secara ribu-ribuan. Oleh itu dia dan rakan sepelayanan mewujudkan “stesyen minyak”, di mana pelajar-pelajar boleh dilatih dalam Firman Tuhan. Stesyen minyak yang pertama telah diadakan di sebuah gua selama dua bulan. Dalam masa dua bulan, 30 pelajar yang telah dipilih dikehendaki membaca seluruh Alkitab dan menghafal Injil Matius. Pada penghujung bulan pertama, kebanyakan pelajar-pelajar itu telah dapat menghafal Injil Matius!
Kisah Saudara Yun dalam bentuk bergambar |
Penahanan Saudara Yun yang ketiga merupakan waktu yang sangat gelap untuknya. Para pengawal bertekad agar dia tidak dapat melarikan diri, seperti yang pernah dilakukannya berkali-kali. Oleh itu mereka membawanya ke dalam sebuah bilik dan membelasah kedua kakinya sehingga menjadi hitam kedua kakinya di bawah betis. Mereka ingin mencacatkan kakinya sehingga dia tidak dapat melarikan diri lagi. Di penjara, saudara-saudara Kristian yang lain terpaksa mendukung Saudara Yun ke mana-mana kerana dia tidak dapat berjalan. Satu-satu caranya dia dapat tidur ialah dengan menyandar kedua kakinya pada dinding sehingga tidak ada rasa di kakinya. Mereka membelasahnya setiap hari walaupun dalam keadaan yang cacat itu.
Saudara Yun mengatakan perihal waktu itu, “Aku tidak memiliki Alkitab bersamaku, jadi aku merenungkan Firman Tuhan melalui ingatanku dan berdoa dengan tangisan air mata untuk gereja-gereja. Aku menjeritkan ayat-ayat Alkitab dengan sekuat hatiku, berpegang kepada janji-janji Tuhan seperti dalam Mazmur 27:1-3. Aku menyanyi dengan suara kuat siang dan malam.”
Melalui Firman Tuhan dan dengan pengesahan seorang saudara lain, Tuhan mengarahkan Saudara Yun untuk melepaskan diri daripada penjara yang dikawal rapat itu. Dengan itu, pada pagi 5 Mei, 1997, Yun secara ajaibnya berjalan keluar dari penjara melalui berpuluh orang pengawal penjara. Dia tidak sedar sehingga kemudiannya bahawa kakinya telah disembuhkan.
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "Bro Yun" dari laman Songs of Scripture)
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "Bro Yun" dari laman Songs of Scripture)