Kesaksian Saudara Yun tercatit dalam buku "The Heavenly Man" |
Saudara Yun telah dilahirkan di China selepas pengambilan kuasa oleh pihak Komunis. Pemerintah Komunis telah mengusir mubaligh-mubaligh Kristian keluar dari negara, dan gereja-gereja pun ditutup. Alkitab sukar sekali didapati pada ketika itu...
Saudara Yun telah dilahirkan pada tahun 1958 di bahagian selatan Wilayah Henan, di kalangan para petani di Liu Lao Zhuang, Daerah Nanyang. Ibu kepada Saudara Yun telah percaya kepada Yesus bertahun-tahun sebelumnya melalui kesaksian mubaligh Kristian, tetapi setelah para mubaligh telah diusir keluar dari negara dan gereja-gereja ditutup selepas pengambilan kuasa oleh Komunis, dia telah menjadi dingin terhadap Tuhan disebabkan kurangnya persekutuan. Pada waktu itu tidak ada Alkitab untuk membantu pertumbuhan orang Kristian.
Pada tahun 1974, bapa Yun hampir sudah meninggal dunia kerana kanser. Kematian itu akan meninggalkan keluarganya dalam keadaan yang teruk, dan keadaan begitu malap sekali sehingga emak Yun terfikir untuk mengambil nyawanya sendiri. Pada suatu malam, sementara emak Yun berbaring di katilnya, dia mendengar suatu suara mengatakan, “Yesus mengasihimu.” Dengan pertaubatan yang diringi airmata, emak Yun menyerahkan kembali hidupnya kepada Yesus Kristus. Dia mengumpulkan keluarganya dan mereka semua berdoa, “Yesus, sembuhkan bapa!” Pada keesokan pagi, bapa Yun mulai beransur pulih. Semua anggota keluarga pun percaya kepada Yesus, dan mereka semua mula mengalami kebangunan rohani.
Gambar Foto Emak kepada Saudara Yun (kiri) dan Isteri Saudara Yun |
Saudara Yun berumur 16 tahun pada waktu itu. Keluarganya tidak memiliki Alkitab, dan bertahun-tahun sudah berlalu sejak kali terakhir emak Yun mendengar sebarang pengajaran tentang Yesus. Yun mula menanya ibunya tentang siapa sebenarnya Yesus. Emak Yun akan menjawab, “Yesus adalah Anak Allah yang mati di kayu salib untuk kita, untuk menanggung segala dosa dan penyakit kita. Dia telah mencatit semua ajarannya di dalam Alkitab.” Yun akan tanya lagi adakah cara dia boleh mempelajari ajaran Yesus untuk dirinya sendiri. Ibunya akan menjawab, “Tidak ada. Semua perkataannya sudah lenyap. Tiada lagi yang tinggal akan pengajarannya.” Cuba bayangkan sebuah keluarga yang lapar dan haus akan pengetahuan Firman Allah, tetapi justeru tiada cara untuk mendapatkannya!
Emak Yun membawa Yun dalam perjalanan jauh untuk bertemu seorang lelaki di kampung yang lain yang seingat emaknya orang itu memiliki Alkitab. Orang itu terlalu takut untuk menunjukkan Alkitabnya kepada Yun, tetapi dia mengatakan kepada Yun, “Alkitab itu adalah buku syurgawi. Kalau kamu ingin memiliki Alkitab, kamu perlu berdoa kepada Allah di syurga. Hanya Dia yang boleh memberikan kamu buku syurgawi itu. Allah setia. Dia selalu menjawab orang yang mencari Dia dengan segenap hati.” Yun mengambil keputusan untuk berpuasa dan berdoa kepada Tuhan untuk Alkitab, dan untuk 100 hari berikutnya hanya makan semangkuk nasi kukus setiap hari. Dia berseru kepada Tuhan untuk sebuah Alkitab. Ibubapanya menyangka bahawa dia sudah mulai hilang akal. Pada suatu pagi, ada ketukan di muka pintu. Dua lelaki telah datang membawakan sebuah Alkitab untuk Yun.
Tiga bulan sebelumnya, seorang penginjil di bandar yang lain telah diarahkan oleh Tuhan dalam penglihatan supaya memberikan Alkitab kepunyaannya kepada Yun. Walaupun dia tidak mengenal anak muda ini, Tuhan telah menunjukkan kepadanya kampung dan rumah di mana Yun tinggal dalam satu penglihatan. Dia mengambil masa tiga bulan sebelum membuat keputusan mematuhi Tuhan.
Yun mula membaca sungguh-sungguh Firman Tuhan. Walaupun dia tidak seberapa tahu membaca, dia bersusah-payah mencari erti satu kata demi satu kata sambil dia membaca Alkitab itu. Apabila dia telah habis membaca Alkitab dengan cara sebegini, dia mulai menghafal satu bab pada setiap hari. Dalam masa 28 hari, dia telah dapat menghafal Injil Matius, dan seterusnya mula menghafal Kisah Para Rasul.
Setelah mendapat penglihatan daripada Tuhan untuk mengkhabarkan Injil ke Selatan dan ke Timur, Yun pun meninggalkan rumahnya pada satu hari untuk pergi ke sebuah bandar yang tidak pernah mendengar Injil. Penduduk-penduduk di situ telah mendengar bagaimana Yun telah berdoa untuk mendapatkan sebuah Alkitab, dan mereka sedang berpuasa dan berdoa agar dia datang ke kampung mereka. Yun tidak tahu bagaimana untuk mengkhabarkan Injil, oleh itu dia hanya melafazkan dari ingatannya seluruh Injil Matius untuk mereka. Roh Kudus turun ke atas penduduk-penduduk itu. Mereka semua berlutut dan bertaubat daripada dosa mereka dan menerima Yesus.
Begitulah permulaan gerakan house church (gereja yang berkumpul di rumah) di China. Tuhan mula mencurahkan Roh-Nya ke atas orang-orang Cina yang begitu lapar rohani.
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "Bro Yun" dari laman Songs of Scripture)
Baca juga Bahagian Kedua Kesaksian Saudara Yun
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel "Bro Yun" dari laman Songs of Scripture)
Baca juga Bahagian Kedua Kesaksian Saudara Yun