Sabtu, 4 Februari 2012

Lontaran 316 Ela Oleh Tim Tebow Cetus 100 Juta Carian Google




DENVER, 8 Januari 2012 - Tim Tebow, quarterback Denver Broncos, membuat lontaran cantik untuk rakannya, Demaryius Thomas yang membuat larian touchdown kemenangan 80 ela pada masa tambahan perlawanan playoffs AFC (American Football Conference) menentang Pittsburg Steelers. Keputusan yang mengejutkan, pasukan wild-card Broncos telah menewaskan pasukan pilihan Steelers dengan mata 29-23. 

Tambah menakjubkan lagi, apabila fakta dan statistik perlawanan mula diketahui - Tim Tebow telah melakukan lontaran yang berjaya disambut sebanyak 316 ela sepanjang perlawanan, angka tertinggi sepanjang musim. Dia juga mencipta rekod NFL (National Football League) dengan mencapai purata 31.6 ela.setiap lontaran yang berjaya. 


Tim Tebow dengan cat bertulisan
John 3:16 semasa mewakili kolejnya
Florida Gators pada tahun 2009  
Pada malam itu dan hari berikutnya, ayat Alkitab "John 3:16" mendapat 100 juta carian Google dari peminat dan juga bukan peminat American football. Ini tidak menghairankan lagi oleh kerana Tim Tebow sudah sangat dikaitkan dengan ayat John 3:16 itu.

Pada tiga tahun sebelumnya, iaitu tepat pada hari dan bulan yang sama, 8 Januari 2009, Tim Tebow telah memakai cat bertulisan "John 3:16" di bahagian bawah matanya apabila mewakili pasukan kolejnya Florida Gators untuk memenangi Kejohanan Kebangsaan BCS. Kejadian itu telah mencetuskan 92 juta carian Google untuk ayat John 3:16.

Hal yang serupa berlaku lagi selepas perlawanan Broncos dan Steelers yang telah disebut tadi walaupun kali ini peraturan NFL tidak membenarkan Tebow memakai cat yang bertulisan pada mukanya. Keanehan bertambah lagi apabila pihak penyiaran CBS melaporkan ratings untuk penonton siaran dalam suku keempat dan terakhir perlawanan itu, cuba teka, adalah 31.6. Adakah rentetan statistik 316 yang menakjubkan itu suatu kebetulan? Ataupun suatu keajaiban?

Tim Tebow pernah mengatakan bahawa John 3:16 (Yohanes 3:16) itu adalah ayat kegemarannya.dalam Alkitab. Beginilah ayatnya;

Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.

Samada anda percaya bahawa statistik yang telah terjadi itu adalah suatu kebetulan semata-mata ataupun merupakan suatu keajaiban, suatu hal yang nyata ialah, kejadian ini telah mencetuskan minat jutaan orang untuk mengetahui apakah John 3:16 itu....