Sabtu, 13 April 2013

Hari 4/14 Sedunia - Berdoa Untuk Kanak-Kanak Sedunia

Suatu perikatan antarabangsa sejuta orang Kristian, yang dikenali sebagai Gerakan Jendela 4/14, akan bersatu dalam doa di enam benua pada Ahad ini. Misi mereka: berdoa untuk kanak-kanak dalam "Jendela 4/14."

Jendela 4/14 itu merujuk kepada semua kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 14 tahun. Semasa dekad, atau "jendela" itu, kebanyakan kanak-kanak pada kumpulan umur ini akan membentuk dasar moral dan rohani mereka.

Hari 4/14 Sedunia adalah hari doa yang diadakan secara tahunan bagi kanak-kanak sedunia," kata Steve Karges, pengasas dan presiden Children's Ministry International, Inc., dan penyelaras acara itu. "Fokus doa kami pada hari Ahad ialah untuk kanak-kanak yang terbiar, terdedah dan tersesat secara rohani, dan kami mengundang orang-orang Kristian di setiap tempat untuk menyertai gerakan ini dan berdoa.

Terdapat 2.3 bilion kanak-kanak di bumi di bawah umur 15 tahun (tujuh kali ganda populasi Amerika Syarikat) dan mereka merupakan kumpulan terbesar orang yang belum dijangkau (kepada Kristus) di dunia. Kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam Jendela 4/14 diberi keutamaan oleh para perancang strategik misi Injili, sebab mereka lebih terbuka dan lebih mudah menerima Injil berbanding muda-mudi yang lebih tua dan orang dewasa.

Usia Bila Orang Menjadi Kristian (di Amerika Syarikat)
- statistik daripada laman web Global414Day.com 

Penyelidikan menunjukkan bahawa hampir 85% daripada orang yang membuat keputusan untuk Kristus di Amerika Syarikat melakukannya di antara usia 4 hingga 14 tahun. Para mubaligh Kristian yang melayani di sekeliling dunia melaporkan penemuan yang serupa secara antarabangsa.

Laman web acara tersebut, Global414Day.com boleh didapati dalam 14 bahasa yang paling sering digunakan (termasuk Bahasa Indonesia). Panduan doa yang percuma telah dimuatkan secara online, dan boleh dimuat turun serta dicetak.


Sejuta orang Kristian di enam benua akan menyertai Gerakan Jendela 4/14
bersatu dalam doa untuk kanak-kanak 4-14 tahun sedunia (14 Apr 2013)

Sambutan terhadap Hari 4/14 Sedunia daripada pengikut-pengikut Kristus adalah luarbiasa sekali," kata Karges. "Sejuta orang Kristian, samada berdoa secara sendiri atau dalam kumpulan, untuk 2 bilion kanak-kanak sedunia, itu amat menakjubkan! Tuhan memakai Hari 4/14 Sedunia untuk membawa bersama orang-orang Kristian melalui iman dan kasih yang mereka kongsi bersama untuk Yesus, dan kasih mereka untuk kanak-kanak," Karges menyimpulkan.

Pada pagi Ahad ini Karges dan isterinya, Janette, akan berdoa bersama orang-orang percaya di sebuah gereja di Colorado. Kemudian pada sebelah petang, dia akan menghabiskan masa memantau laporan daripada orang-orang Kristian di tempat-tempat yang dekat dan jauh, apabila mereka menghantar melalui emel, kesaksian, doa yang terjawab dan gambar foto dari Hari 4/14 Sedunia.


Populasi Dunia Di Bawah 15 Tahun  (peta dari Global414Day,com)


(Diterjemah daripada artikel laman Charisma News bertajuk "Global 4/14 Day Sees 1 Million Christians Pray for 2 Billion Children" bertarikh 12 April 2013 penulisan Elizabeth Sanchez)