"Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku dan Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku."
Aku mendengar kisah seorang gembala dari pergunungan Scotland yang, ketika dia keluar untuk menjaga domba-dombanya, akan membawa bersama anak kecil perempuannya. Hal yang paling disukai oleh anak kecil itu ialah apabila ayahnya memanggil domba-domba itu yang selalu akan datang atas panggilan ayahnya itu. Tahun berganti tahun dan anak kecil itu pun menjadi seorang gadis yang jelita dan pergi tinggal di salah satu bandaraya besar Scotland - Edinburg atau Glasgow - untuk mencari jalan hidupnya sendiri. Pada mulanya, dia menulis surat kepada ibubapanya pada setiap minggu, tetapi selang waktu surat-suratnya makin berkurangan dan tidak lama kemudian dia pun berhenti menulis.
Khabar-khabar angin mula kedengaran di kampung bahawa dia telah bergaul dengan beberapa peribadi yang tidak baik kelakuannya. Pada satu kali seorang pemuda dari kampung itu terjumpa dengannya secara kebetulan, tetapi anak gadis itu langsung tidak mengendahkannya. Apabila ayahnya mendengar hal ini, dia pun pergi ke bandar untuk mencarinya.
Berhari-hari ayah itu mencarinya di kawasan yang sesak penduduk, baris-baris perumahan, pasar-pasar. kedai-kedai minuman dan ke mana saja tetapi tidak berhasil. Selepas pencarian bersungguh-sungguh ini, dia merasa putus asa dengan sangkaan bahawa dia telah kehilangan anaknya kepada bandar yang jahat itu.
Sewaktu dalam perjalanan untuk kembali ke kampung, dia teringat bagaimana anak perempuannya dulu suka benar mendengar suara gembala memanggil domba-dombanya. Jadi dia menukar arah lagi, dan dalam pencariannya yang tergerak oleh kesedihan dan cintanya, dia mulai menjelajah dari jalan ke jalan. Suaranya melaungkan panggilan gembala. Penduduk bandar semuanya memandangi dia seperti orang yang sudah kehilangan akal.
Tidak lama kemudian, sementara dia berjalan di sebuah kawasan perumahan yang teruk keadaannya, anak perempuannya yang sedang duduk bersama beberapa watak tak senonoh yang telah menyesatkannya, mendengar suaranya. Dengan wajah yang penuh kehairanan, dia telah mendengar panggilan suara gembala, suara ayahnya memanggilnya. Dia bingkas bangun dan keluar ke jalan dan berlari ke pelukan gembala tua itu, ayahnya. Dengan itu ayahnya pun membawanya pulang ke pergunungan Scotland dan membawanya kembali kepada Tuhan dan jalan hidup yang mulia dan bermaruah.
(Diterjemahkan daripada artikel laman Albert's Sermon Illustration bertajuk "The Shepherd's Voice" bertarikh 17 Januari 2013)
(Diterjemahkan daripada artikel laman Albert's Sermon Illustration bertajuk "The Shepherd's Voice" bertarikh 17 Januari 2013)