Sabtu, 21 September 2013

Bethany Hamilton Berkahwin Dengan Pastor Muda-Mudi

Bethany Hamilton berkahwin dengan Adam Dirks

Peluncur air professional Bethany Hamilton, yang juga dikenali sebagai "Soul Surfer," mengumumkan bahawa dia telah berkahwin dengan tunangnya, seorang pastor muda-mudi, pada Ahad 18 Ogos 2013 di Hawaii dan bersedia untuk peringkat seterusnya dalam hidupnya. 

"Aku ingin menjadi isteri terbaik mungkin untuk Adam dan untuk memulakan perjalanan hidup kami yang baru bersama-sama," Hamilton mengatakan kepada majalah PEOPLE. "Aku suka meluncur air, tetapi bernikah itu jauh di luar bandingan. Ini pastinya malam terindah dalam hidupku."

Peluncur air 23 tahun ini menjadi terkenal setelah dia kehilangan lengannya dalam serangan jerung pada umur 13 tahun, dan mengucap syukur kepada Tuhan kerana memberinya keberanian untuk pulih kembali dan meneruskan kerjayanya.

Dia memberitahu dalam laman rasminya bahawa dia telah bertemu suaminya, Adam Dirks pada musim bunga 2012 di sebuah pantai selepas diperkenalkan oleh kawan-kawan.

"Perkara pertama kami lakukan pada masa itu ialah menerjun cerun bersama-sama. Anda boleh katakan ianya ialah jatuh cinta pada terjun pertama. Selepas itu kami sering bersama-sama. Cuma sebagai kawan - berjalan-jalan, ke pantai, bermain tenis, keluar bersama kawan-kawan - mula berkenalan satu dengan lain! Semakin banyak masa kami luangkan bersama, semakin aku suka Adam. Dia seorang yang tulen, baik hati, suka berjenaka, suka cabaran, senang bergaul dengan semua orang, mencintai Yesus dan secara keseluruhan seorang lelaki yang hebat!" Hamilton menjelaskan.


Pasangan Adam dan Bethany

Pasangan itu berkahwin di hadapan 300 tetamu di sebuah puncak bukit terpencil berdekatan tebing utara Kauai, di mana Hamilton membesar.

"Kami berjalan-jalan di pantai sunyi kegemaran kami, makan tengahari dan menghabiskan masa bersama," sambung peluncur air itu. 

"Kemudian kami berjalan ke sebuah taman yang cantik di belakang pantai. Sambil kami berjalan kami terjumpa dua biji kelapa, minuman kegemaranku, yang disertai dengan cincin. Lalu dia mula menyatakan isi hatinya dan kasihnya untukku, dan dia pun berlutut dan melamarku. Aku katakan ya dan menangis serta ketawa pada masa yang sama. Sungguh indah dan sempurna."

Suaminya, 25 tahun, yang bekerja untuk pertubuhan bukan bertujuan keuntungan Young Life di Hawaii, menggambarkan hubungan mereka sebagai "perjalanan yang luar biasa dan diberkati."

"Paling penting ialah hubunganku dengan Tuhan telah menjadi bahagian utama dalam hidupku. Kalau bukan kerana Tuhan, aku dan Bethany pasti tidak akan bertemu," tambahnya. 

Kisah Hamilton telah dijadikan filem pada 2011 bertajuk "Soul Surfer," dengan dibintangi AnnaSophia Robb, sementara bukunya, Soul Surfer; A True Story of Faith, Family and Fighting to Get Back on the Board telah diterbitkan pada 2004. 

Peluncur air bergelar "Soul Surfer" ini sering memperkatakan tentang kepentingan iman dalam hidupnya, dan pada 2012 telah memberi sokongan kepada kempen "National Back to Church Sunday" yang menggerakkan gereja-gereja dan dan orang-orang percaya untuk menjangkau keluarga dan kawan-kawan yang tidak bergereja dan menjemput mereka mengikuti ibadah.

"Semasa membesar aku sangat diberkati menjadi sebahagian daripada sebuah gereja yang hebat." kata Hamilton. "Di situlah aku telah bertemu ramai kawan-kawan yang telah memberi dorongan dalam hidupku agar hidup kuat untuk Kristus." 

"Gerejaku adalah tempat di mana aku boleh membina persahabatan dengan orang-orang lain yang akan mendorongku dalam perjalanan hidupku bersama Kristus."

(Diterjemah daripada artikel Christian Post bertajuk "'Soul Surfer' Bethany Hamilton Marries Christian Youth Minister" penulisan Stoyan Zaimov bertarikh 19 Ogos 2013)