Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail |
Peguam Negara,Tan Sri Abdul Gani
Patail mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tersalah langkah dalam
rampasan kitab Injil di Selangor Januari lalu dan mengarahkan mereka menutup
kes tersebut.
Gani berkata kitab Injil
berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas itu bukan tulisan yang diterbitkan
mengikut seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di
Kalangan Orang Islam) 1988.
"Keterangan menunjukkan
buku-buku yang dirampas adalah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Alkitab
Berita Baik adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku
asas penganut agama Kristian," kata Gani.
Gani juga menjelaskan kandungan
kitab yang dirampas itu tidak menjejaskan isu keselamatan negara.
"Jabatan Peguam Negara juga
turut mengambil kira keterangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa buku-buku
tersebut tidak dikawal oleh KDN dan tidak melibatkan isu keselamatan negara,"
katanya.
Menurut Gani lagi, tiada sebarang
pendakwaan dibuat dan Jais perlu menutup kes tersebut.
"Oleh demikian, Jabatan
Peguam Negara memutuskan tidak ada sebarang pendakwaan dibuat dan kes tersebut
ditutup," katanya.
Mengenai gesaan supaya kitab tersebut
dipulangkan, Gani menggesa supaya Jais mengambil tindakan mengikut lunas
undang-undang.
Pada Januari lalu, Jais merampas
lebih 300 kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat Pertubuhan Bible
Malaysia (PBM) di Damansara.
Bekas Presiden PBM, Lee Min Chong
dan Pengurus Pejabat PBM, Sinclair Wong kemudiannya ditahan dan dibawa ke balai
polis, namun kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
Serbuan Jais dibuat mengikut
Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam)
yang diluluskan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan menghalang bukan Islam di
Selangor menggunakan 35 perkataan berbahasa Arab termasuk "Allah",
"Nabi", "Injil" dan "Insya-Allah". – 11 Jun,
2014.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "Peguam Negara Dakwa Jais Salah Langkah, Arah Tutup Kes Bible" penulisan Md Izwan bertarikh 11 Jun 2014)