Selasa, 11 November 2014

Universiti Malaysia Sabah Menolak Permohonan Perayaan Krismas Di Kampus


Penuntut-penuntut Kristian Universiti Malaysia Sabah (UMS), perlu sekali lagi mengadakan perayaan Krismas tahunan mereka di luar kampus, selepas usaha mengubah tradisi dan mengadakan acara itu di universiti itu tidak diluluskan.

Sekatan itu juga kelihatan dikhususkan kepada penuntut-penuntut Kristian, menurut pemangku presiden United Pasokmomogun Murut Organisation (Upko), Datuk Madius Tangau yang menyatakan bahawa perayaan agama-agama lain dibenarkan dirayakan di kawasan kampus itu.

Menurut Tangau, kumpulan-kumpulan Kristian di universiti itu diberitahu bahawa acara pesta tahunan Krismas tidak akan diluluskan sekiranya tidak diadakan di luar kawasan UMS.

Dia berkata kelulusan untuk acara itu hanya diberi selepas penuntut-penuntut itu mengubah lokasi ke luar dari kawasan universiti seperti diarahkan.

"Bagi pihak beratus-ratus penuntut-penuntut Kristian di UMS kita sendiri, dan beberapa ibubapa yang datang kepada saya untuk bantuan, saya merayu dengan ikhlas kepada pihak berkuasa UMS untuk mengizinkan penuntut-penuntut Kristian merayakan Krismas dalam kawasan UMS," kata Tangau.

"Upko tidak bersetuju dengan dasar-dasar yang menyekat penuntut-penuntut dari mengamalkan kebebasan beragama, lebih-lebih lagi di sebuah pusat pengajian tinggi. Dengan itu saya akan membawa perkara ini kepada pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional," katanya lagi.

"Apa yang kurang menyenangkan lagi ialah hakikat bahawa penuntut-penuntut Muslim, Buddha dan Hindu dibenarkan mengadakan perayaan-perayaan keagamaan mereka di kampus. Pesta tradisi Tadau Kaamatan juga merupakan acara tahunan UMS yang diadakan secara besar-besaran."

Kaamatan adalah pesta menuai tahunan yang dirayakan oleh masyarakat Kadazandusun Sabah.

Pemimpin Upko itu mengatakan bahawa penuntut-penuntut Kristian telah mengadakan acara tahunan Krismas di sebuah hotel di sebuah kompleks membeli-belah yang berdekatan untuk sekurang-kurangnya dua tahun yang lepas kerana UMS tidak mengizinkan acara itu diadakan di "kediaman" penuntut-penuntut itu. 

Tangau telah diundang oleh kumpulan-kumpulan Kristian di universiti itu untuk menjadi tetamu kehormat perayaan mereka tahun ini.

"Saya benar-benar berdoa agar ada perubahan keputusan tahun ini, agar penuntut-penuntut dapat merayakan acara mereka di kawasan kampus seperti rakan-rakan sebaya mereka," tambahnya.

Keratan akhbar The Borneo Post 11 November 2014
Ketika dihubungi oleh Malay Mail Online, beberapa penuntut Kristian di universiti itu mengatakan bahawa acara itu tidak pernah diizinkan di kawasan kampus sejauh ingatan mereka. 

"Saya percaya senior-senior kami telah pernah memohon untuk mengadakannya di universiti, tetapi permohonan mereka tidak diluluskan," kata seorang penuntut yang tidak ingin dinamakan.



Seorang penuntut lain berkata ianya lebih mudah untuk menganjurkannya di luar kawasan kampus kerana mereka tidak perlu mengikuti begitu banyak sekatan dan syarat pihak berkuasa universiti, walaupun mereka berkata ianya memerlukan lebih banyak usaha dan kos untuk menganjurkannya di tempat lain. 

"Begitu baik sekali jika kami dapat menganjurkannya di kampus sebab di situlah kami tinggal dan menghabiskan masa kami," kata penuntut itu yang juga tidak ingin dinamakan.

Timbalan naib canselor UMS, Dr. Ismail Ali yang menguruskan hal ehwal pelajar mengesahkan kepada Malay Mail Online bahawa dia telah menerima permohonan untuk perayaan Krismas diadakan di kawasan universiti. 

"Tetapi biasanya untuk pesta, kami menggalakkan penuntut-penuntut mengadakannya di luar kampus," katanya.

Apabila ditanya mengenai perayaan-perayaan keagamaan lain, sepertinya Tadau Kaamatan, Dr. Ismail enggan mengulas dan berkata dia akan mengkaji permohonan itu. 

Sabah yang dahulunya merupakan lambang masyarakat majmuk Malaysia, kini mengalami kemasukan masalah keagamaan oleh kerana pencorakan semula masyarakat (social engineering) yang didakwa menyebabkan populasi Muslim bertambah dari kira-kira sepertiga penduduk asal pada 1960an kepada 65.9 peratus pada 2010. 

Gereja-gereja Sabah adalah di antara yang paling lantang bersuara dalam perselisihan Muslim-Kristian mengenai "Allah", perkataan Arab untuk Tuhan, yang mereka anggap sebagai pelanggaran jaminan kebebasan beragama dan Perjanjian Malaysia 1963.

Penduduk-penduduk asal telah menuduh kumpulan-kumpulan Muslim dari Semenanjung menukar agama penduduk tempatan ke Islam melalui pelbagai cara tipu daya, sogokan dan tekanan.

(Diterjemahkan dari artikel Malay Mail Online bertajuk "Lumps Of Coal For Christians As Sabah University Snubs Bid For Christmas Do" penulisan Julia Chan bertarikh 11 November 2014)