Ahad, 14 Disember 2014

Mengapa Bible Jadi Masalah Di Semenanjung, Soal Warga Sarawak Kepada GAP



Gerakan Anti Perkauman (GAP) melangkah setapak lagi apabila badan bukan kerajaan (NGO) itu dilancarkan di Kuching, Sarawak namun masalah perkauman di Semenanjung menjadi kebimbangan penduduk di negeri itu.


Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengerusi GAP
 (Gerakan Anti Perkauman) melancarkan
gerakan itu di Hotel Merdeka Palace
di Kuching pada malam tadi
Pengerusi GAP Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penduduk di Sarawak juga kurang faham mengapa Bible menjadi masalah di Semenanjung kerana negeri itu juga terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

“Bila saya berjumpa, mereka kurang faham mengapa Bible itu menjadi satu masalah kerana sudah berapa lama mereka menggunakan Bible yang tertera kalimah Allah diterjemahkan, tiada masalah pun.

“Yang jadi masalah di Semenanjung, bukan masalah kalimah Allah saja tetapi menyerlahkan betapa tidak toleransinya masyarakat dan pihak tertentu dalam isu ini. Itu yang banyak membimbangkan mereka.

“Sarawak tiada masalah perkauman. Mereka lebih terbuka dalam hal ini. Cuma mereka bimbang apa yang berlaku di Semenanjung berupaya mempengaruhi suasana aman damai di sana,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

GAP Sarawak dilancarkan malam tadi di Hotel Merdeka Palace, Kuching dihadiri kira-kira 50 individu yang terdiri daripada wakil pertubuhan politik, agama dan NGO.

NGO itu pertama kali dilancarkan di Petaling Jaya pada Oktober yang menyaksikan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, bekas Ahli PAS Tamrin Ghafar, Ahli Parlimen DAP Dr Ong Kian Ming, Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP Dyana Sofya Mohd Daud dan beberapa individu lain menyertai NGO berkenaan.

Tujuan utama penubuhan GAP ialah membina Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada perkauman sempit atau rasisme melalui kesedaran sivik dengan menyakini rasisme tidak diterima dan perlu ditolak oleh seluruh rakyat Malaysia, kata Mujahid.

Beliau berkata rata-rata pemimpin masyarakat yang hadir pada malam tadi melahirkan rasa gembira dengan kehadiran GAP dengan harapan masalah perkauman tidak merebak ke negeri terbesar itu.

“Kita cuba lebarkan pengaruh dengan bertemu pelbagai kelompok di Sarawak sambil membawa mesej GAP. Saya rasa agak berjaya jugalah pelancaran kami dalam memperkenalkan kempen Harapan Malaysia sebagai negara tanpa perkauman.

“Selepas ini kita akan ke Sabah awal tahun depan,” katanya yang turut memberitahu dijemput ke majlis jamuan Persatuan Kristian Sarawak yang dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup malam tadi.

Ketika diminta mengulas perkembangan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) dalam merangka Akta Keharmonian Nasional, Mujahid berkata majlis itu akan tampil dengan sebuah pelan pada tahun depan.

“Kami baru selesai menyerahkan dokumen setiap jawatankuasa. Ia sudah diperakui di peringkat majlis yang penuh. Kita akan seterusnya merangka kepada satu bentuk pelan yang kemudian dipersembah kepada menteri dan dilihat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Kami mengharapkan Jun tahun depan akan dimuktamadkan. Dalam bentuk draf itu pun perlu kita betulkan balik, mungkin format saja,” katanya.

Mujahid berkata dengan pengumuman Najib untuk mengekalkan Akta Hasutan, ada kemungkinan Akta Keharmonian Nasional akan diwujudkan bersama akta lapuk itu.

Katanya, terdapat pihak tertentu yang tersalah anggap kewujudan MKPN untuk menggubal satu akta menggantikan Akta Hasutan sebaliknya ia lebih besar daripada itu.

“Bila perdana menteri kata Akta Hasutan akan kekal, kami tak tahu macam mana dia nak selaraskan itu. Terpulang pada perdana menteri. Cadangan kami hapuskan Akta Hasutan ganti Akta Keharmonian,” katanya. 

(Diambil daripada artikel "Mengapa Bible Jadi Masalah Di Semenanjung, Soal WargaSarawak Kepada GAP" penulisan Hasbullah Awang Chik bertarikh 13 Disember 2014)