Khamis, 23 April 2015

Gereja Dibenarkan Pasang Semula Tanda Salib, Kata MB Selangor

Gereja di rumah kedai di Taman Medan, Petaling Jaya dibenarkan memasang semula tanda 
salib, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insider  

Gereja kontroversi yang terletak di lot Perniagaan Metro Taman Medan, Petaling Jaya dibenarkan memasang semula tanda salib di premis itu, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Azmin  berkata, salib merupakan simbol suci bagi penganut Kristian dan masyarakat lain perlu menghormatinya.

"Ya, tak menjadi masalah. Sebaliknya persoalan kita adalah, kenapa paksa mereka turunkan salib?

"Ini kerana salib adalah lambang suci kepada penganut Kristian dan masyarakat perlu hormat," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Azmin berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab mengadakan protes Ahad lalu.

Katanya, protes itu tidak boleh diterima dan semua pihak perlu saling menghormati antara penduduk berbilang agama di Selangor.

Ahad lalu, kira-kira 50 penduduk Taman Medan mengadakan protes di depan gereja itu menuntut tanda salib di luar bangunan premis itu diturunkan.

Kumpulan tersebut mendakwa, kewujudan salib gergasi itu mampu menggugat keimanan.

Petang semalam, Ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya, Datuk Abdullah Abu Bakar disoal siasat polis hampir 3 jam berhubung kejadian itu.

Abdullah yang merupakan abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 4 petang bagi merakamkan keterangan.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk, "Gereja Dibenarkan Pasang Semula Tanda Salib, Kata MB Selangor" penulisan Jamilah Kamarudin bertarikh 23 April 2015)