Florence Nightingale |
Nightingale telah dilahirkan pada 12 Mei 1820, di Florence dan dinamakan mengikut nama bandar itu, kepada sebuah keluarga kelas atasan Inggeris. Sebagai seorang wanita muda, dia telah mengejutkan keluarganya dengan menolak beberapa lamaran perkahwinan supaya dia boleh menjadi seorang jururawat (yang dipercayainya adalah panggilan Tuhan untuk dirinya), walaupun pengajiannya pada mulanya telah dihalang oleh ibu bapanya.
Semasa di Rum pada 1847, dia telah bertemu dan menjadi sahabat dengan ahli politik British, Sydney Herbert, yang kemudiannya berperanan besar dalam kerjayanya. Pada 1850, dia memasuki sebuah pusat pengajian di Kaiserswerth, Jerman untuk dilatih, dan tiga tahun kemudian dilantik menjadi penyelia Institusi Penjagaan Untuk Wanita Sakit di London.
Pada tahun berikutnya, pada 1854 semasa Perang Crimea, Nightingale telah diberi tanggungjawab menyelia kejururawatan di hospital-hospital tentera di Scutari, Turki. Di situ dia mula menangani keadaan teruk yang terlalu sesak, tidak bersih dan kekurangan keperluan asas, dan juga penentangan daripada doktor-doktor tempatan. Bukan secara serta-merta tetapi dalam masa setahun, dia telah berhasil menurunkan dengan banyak kadar kematian, walaupun ini mungkin disebabkan kebanyakannya oleh Suruhanjaya Kebersihan, yang telah dipanggilnya dari Britain, yang telah membersihkan saluran-saluran najis dan memperbaiki pengaliran udara.
Semasa dia berada di Scutari, dia telah membuat tiga lawatan ke Crimea, dan telah jatuh sakit dengan teruk untuk suatu waktu, dan pada akhirnya telah diberikan kuasa penyeliaan ke atas semua hospital tentera. Satu laporan dalam The Times mengenai usahanya menyebabkab dia digelar "Bidadari Berlampu".
"Semenjak saat itu setiap terjadi pertempuran, pada malam harinya Florence berkeliling dengan lampu untuk mencari prajurit-prajurit yang masih hidup dan mulailah ia terkenal sebagai bidadari berlampu yang menolong di gelap gulita. Banyak nyawa tertolong yang seharusnya sudah meninggal" - Wikipedia (Indonesia)
Sekembalinya ke England pada 1856, Nightingale telah berkempen untuk, dan hasilnya telah tertubuh satu Suruhanjaya Di Raja Mengenai Kesihatan Untuk Tentera. Melalui pengalamannya, dia percaya bahawa kebanyakan askar mati di hospital oleh kerana keadaan persekitaran yang teruk, dan dia menjadi seorang yang kuat mengajukan keadaan hospital yang lebih bersih dan sihat.
Semasa di Turki lagi, sokongan awam untuk usaha-usahanya telah membawa kepada pelancaran satu dana awam, yang mana pada 1860, telah memiliki dana yang mencukupi untuk membantu Nightingale mengasaskan sebuah sekolah latihan untuk jururawat di Hospital St. Thomas (sekarang sebahagian daripada King's College, London). Sekitar waktu itu, dia juga telah menulis dan menerbitkan Notes on Nursing (Nota Mengenai Kejururawatan) yang telah dijual dengan laris kepada para jururawat dan orang awam, yang sekarang dianggap sebuah buku penghantar yang penting mengenai kejururawatan.
Florence Nightingale melawat para pesakit |
Pada 1883, dia telah dianugerahkan Salib Merah Di Raja oleh Ratu Victoria, dan pada 1907, dia menjadi wanita pertama dianugerahkan bintang jasa The Order of Merit. Dia telah meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 13 Ogos 1910.
(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Diary Review bertajuk "Florence's Lost Diaries" yang dipos oleh Paul K. Lyons bertarikh 13 Ogos 2010)