Sebahagian daripada 30 malim Gunung Kinabalu yang menyertai misi menyelamat pendaki- pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu akibat gempa bumi - Gambar Bernama |
RANAU - Tiga pendaki, iaitu antara 137 pendaki yang
terkandas di Gunung Kinabalu, menyifatkan malim gunung telah melaksanakan misi
yang sangat besar dan hebat.
Malim gunung menjadi penyelamat dan sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk
memastikan semua pendaki selamat tiba di Pondok Timpohon, laluan permulaan
untuk merasai pengalaman mendaki Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia
Tenggara.
Seorang pendaki yang ingin dikenali sebagai Abbie, 24, berkata, malim gunung
sentiasa memberi komitmen penuh untuk memastikan semua pendaki selamat turun.
"Mereka melakukan misi yang luar biasa dan menakjubkan," kata pemuda
dari Kuala Lumpur ini yang terkandas di Gunung Kinabalu susulan gempa bumi
berukuran 5.9 pada skala Richter pada 7.15 pagi semalam.
Abbie, yang selamat tiba di sini kira-kira 3 pagi ini berkata, malim gunung
juga membuat laluan baharu memandangkan laluan utama telah rosak dan tidak
dapat dilalui akibat gempa bumi.
"Mereka memberi tunjuk arah kepada kami dari puncak Laban Rata ke laluan
keluar (Pondok Timpohon) dengan sangat baik," katanya.
Rakannya, Brett Isenor, 41, juga memuji malim gunung kerana mereka membawa
turun semua pendaki dengan penuh tanggungjawab.
"Mereka membuat laluan baharu untuk kami turun," kata Isenor, warga
Kanada.
Abbie dan Isenor ialah antara sembilan rakan yang berjaya sampai ke puncak
Gunung Kinabalu dan mewakili syarikat mereka untuk mengumpul dana bagi program
amal tempatan.
Sementara itu, seorang pelajar dari Ranau, Elnabeth Elvia Yamoh, 23, yang
berada di puncak Gunung Kinabalu selama sembilan jam, berkata malim gunung
sangat memberi sokongan untuk mereka menguatkan semangat serta terus bertahan.
"Mereka memahami perasaan kami yang berada di atas tanpa makanan dan
minuman.
Mereka ambil botol minuman kami dan mengisi air dari sumber
semula jadi.
"Mereka juga amat mengambil berat keselamatan kami. Mereka akan mengikat
tali setiap kali melangkah turun. Sebab itulah kami mengambil masa lama untuk
sampai ke sini... laluan asal sudah tidak boleh digunakan," kata Elnabeth,
yang mendaki gunung bersama 18 lagi rakannya dan mengakui trauma akan kejadian
itu. – Bernama
(Diambil daripada artikel Sinar Harian bertajuk, "Malim Gunung Jadi Penyelamat" bertarikh 6 Jun 2015)