Jumaat, 4 September 2015

Filem "War Room" (Kamar Perang) Lebih Bagus Dari "Courageous" dan "Fireproof"


Filem Kristian "War Room" telah mendapat jualan tiket $11 juta di pawagam pada hujung minggu pembukaannya meskipun hanya ditayangkan di 1,135 pawagam. Ianya menduduki tempat No. 2 di belakang "Straight Outta Compton" yang mendapat $13.2 juta, tetapi ditayangkan di 3,142 lokasi. Berikut ulasan filem "War Room" oleh Michael Foust di The Christian Post:

Setiap kali saya menonton filem baru oleh penerbit-penerbit filem Alex dan Stephen Kendrick, sesuatu melintas di fikiran saya.

Adakah ini filem yang bakal gagal?

Ketakutan saya biasanya bertukar lega selepas lebih kurang 10 minit, dan pada ketika itu saya akan mula memikirkan soalan yang lain.

Dapatkah mereka mengatasi filem mereka yang terdahulu... sekali lagi?

Soalan-soalan seperti itu pastinya timbul untuk adik-beradik Kendrick itu, yang telah sehingga tahun ini mengeluarkan empat filem berdasarkan iman: "Flywheel" (2003), "Facing the Giants" (2006), "Fireproof" (2008) dan "Courageous" (2011), setiap satunya telah dianggap ramai sebagai lebih baik daripada yang sebelumnya.

Pada minggu ini adik-beradik Kendrick akan menayangkan filem kelima mereka, "War Room," yang telah diberi pengkelasan PG dan membintangi Priscilla Shirer, P.C. Stallings dan Karen Abercrombie, tiga orang yang anda mungkin tidak ingat pernah lihat di layar besar tetapi tiga orang yang anda tidak pernah akan lupakan, untuk sebab-sebab yang terbaik.

Jadi, adakah "War Room" lebih baik dari "Courageous," sebuah filem yang telah mendapat tempat dalam Top 5 semasa minggu pertama penayangan? Ya, dalam pandangan saya.


Dua watak utama War Room, Cik Clara dan Elizabeth Jordan

"War Room" menceritakan mengenai kisah Tony dan Elizabeth Jordan, sepasang suami isteri kelas pertengahan yang sedang menuju kepada kemungkinan penceraian apabila seorang janda tua yang penuh dengan doa  Cik Clara  muncul dalam hidup mereka. Elizabeth ialah ejen hartanah yang cuba menjual rumah Cik Clara, tetapi dengan cepat menyedari bahawa rumah Cik Clara bukanlah kediaman yang biasa. Ya tentu saja ada dapur, ada bilik air dan kamar tidur, tetapi juga ada sebuah kamar yang dikhususkan untuk satu hal sahaja: doa. Berpuluh-puluh kertas nota yang bertulis menghiasi dinding-dindingnya, menyenaraikan segala sesuatu yang dibawanya dalam doa kepada Tuhan.

"Inilah kamar saya melakukan pertempuran," kata Cik Clara. "Inilah kamar perang saya."

Dan jadi Cik Clara pun mula memuridkan Elizabeth, cuba untuk menyelamatkan perkahwinannya dan mendorongnya untuk berdoa untuk Tony walaupun dia sentiasa menunjukkan perangai (dan memang banyak perangainya).

"Jika kamu bagi saya satu jam seminggu, saya boleh ajar kamu bagaimana untuk berperang dengan cara betul dan dengan senjata-senjata yang betul," kata Cik Clara.



"War Room" berjaya sebagai sebuah filem untuk sebab yang sama seperti "Fireproof" dan "Courageous": ianya memiliki kisah yang hebat, sesuatu yang kekurangan dalam begitu banyak filem-filem Hollywood hari ini yang memberi kita special effect jutaan dolar tetapi jalan cerita 10 sen. Ianya berjaya kerana, tidak seperti filem-filem Hollywood itu, ianya melakukan lebih dari hanya menghiburkan kita. "War Room" menggerakkan kita, menginsafkan kita, dan menginspirasikan kita. Filem "Fireproof" membuat saya ingin menjadi suami yang lebih baik, "Courageous" membuat saya ingin menjadi ayah yang lebih baik, dan "War Room" membuat saya ingin menjadi seorang perwira doa. Ianya juga berjaya kerana ianya memiliki cukup detik-detik lucu untuk membantu kita menarik nafas di antara babak-babak yang beremosi.

Adik-beradik Kendrick memahaminya. Mereka tahu bagaimana menghasilkan filem yang hebat sebab mereka tahu bahawa kisahnya yang paling utama. Mereka juga mengerti kerana mereka sentiasa bekerja keras untuk memperbaiki lagi hasil karya mereka. Mereka menyedari mengenai label "tidak realistik" yang diletakkan oleh penonton-penonton filem pada filem-filem Kristian, dan mereka menyedari bahawa sebelum filem mereka yang seterusnya ditayangkan di pawagam, sebahagian besar penduduk Hollywood telah pun memandang sepi terhadapnya.

Tetapi ianya menjadi semakin hari semakin sukar untuk mengetepikan mereka. Sebagai contoh, "Courageous" pada 2011 menduduki tempat keempat di kalangan empat filem pembukaan pada hujung minggu, menunjukkan prestasi lebih baik daripada sebuah filem Universal yang berbajet $50 juta ("Dream House") dan sebuah filem Fox berbajet $20 juta ("What's Your Number?"). "Courageous" berbajet $2 juta - dianggap duit kecil menurut taraf Hollywood. Dan filem "Fireproof" (2008) telah menjadi filem bebas terbaik pada tahun itu, bermula di tempat Top 5, dan mengakhiri penayangan dengan perolehan kasar $33 juta  jauh melebihi bajetnya yang berjumlah $500,000.


Kamar doa Cik Clara dalam War Room

Ianya juga semakin sukar untuk mengetepikan mereka kerana filem-filem mereka semakin baik setiap kali. Persembahan Stallings dalam "War Room" adalah cemerlang sekali, dan Shirer - yang mengikuti kelas lakonan sebagai persediaan untuk filem ini – juga memberi persembahan yang mengkagumkan juga. Sebenarnya, mereka berdua terlibat dalam dua babak yang paling menggerakkan yang pernah saya tonton dalam filem – babak-babak yang membuat air mata saya menitis.

Kesemua lima filem itu adalah hasil daripada impian seumur hidup Alex Kendrick untuk membuat filem-filem yang akan membawa impak kepada gereja dan budaya  dan itulah yang telah mereka lakukan. Dia dan adiknya baru-baru ini menganggarkan bahawa mereka perlu berkhutbah kepada 1,000 orang setiap Ahad untuk 100 tahun yang seterusnya untuk menjangkau bilangan orang yang sama dengan yang mereka jangkau dengan "Fireproof" pada 2008.

"Kami mengkagumi apa yang Tuhan telah lakukan, di tengah-tengah segala kekurangan kami," Stephen Kendrick memberitahu saya baru-baru ini.

Kerendahan hati itulah yang kemungkinan sebabnya Tuhan telah begitu banyak memberkati pelayanan mereka. Saya tidak tahu samada mereka akan menghasilkan filem yang kurang bagus satu hari nanti. Tetapi saya tahu ini adalah satu lagi filem yang bagus.

Markah untuk hiburan: 5 bintang penuh. Markah untuk kesesuaian keluarga: 5 bintang penuh.

"War Room" diberi pengkelasan PG (Bimbingan Ibu Bapa) kerana unsur-unsur bertema (keagamaan). Tiada bahasa berunsur kasar atau seks. Topik perbincangan selepas tontonan; keperluan untuk "masa doa" harian yang dijadualkan; apa yang dikatakan Alkitab mengenai doa; perihal kecetekan doa kita. 


Video: Sedutan Filem War Room



(Diterjemah daripada artikel The Christian Post bertajuk, "'War Room' Is Better Than 'Courageous' And 'Fireproof'" penulisan Michael Foust bertarikh 26 Ogos 2015)