SIB kini memiliki 300,000 anggota di seluruh negara - Foto Choo Choy Moy |
Artikel ini asalnya telah diterbitkan oleh The Malaysian Insider lima tahun yang lalu, pada Mei 2010. Dua tiga hari yang lalu saya perhatikan artikel ini mula dipetik dan disebarkan semula oleh kawan-kawan di Facebook. Berikut ialah terjemahan artikel penulisan Debra Chong mengenai pertumbuhan dan perkembangan Sidang Injil Borneo (SIB);
KUALA LUMPUR, 28 Mei - Gereja Roman Katolik mungkin memiliki pengikut berjumlah sejuta orang, tetapi Sidang Injil Borneo (SIB) adalah gereja yang paling cepat bertumbuh di Malaysia hari ini.
Di Sarawak, negeri terbesar di Malaysia dan di mana hampir satu perempat daripada populasinya adalah Kristian, anggota-anggota SIB berjumlah seramai 170,000. Di Sabah, yang juga mempunyai banyak kawasan perkampungan, terdapat 120,000 anggota SIB.
Di Semenanjung, seramai 3,000 Orang Asli yang tinggal di kampung-kampung kecil kebanyakannya di Perak dan Pahang telak memeluk agama Kristian, berbanding dengan seramai 2,000 penduduk kota yang tertumpu di Lembah Kelang yang telah menyertai daripada gereja-gereja lain.
Tambahan lagi, kini terdapat lebih daripada 10 pastor Orang Asli sepenuh masa sejak dekad yang lalu, dan lebih ramai lagi yang telah memohon untuk menyertai kumpulan itu.
Diasaskan untuk melayani orang-orang di Malaysia Timur, SIB sekarang telah berkembang ke Semenanjung Malaysia |
Diasaskan di Borneo 82 tahun yang lalu, gerakan injili itu telah mula tersebar ke arah barat dua dekad yang lalu. Ianya kini memiliki 30 sidang SIB di sekitar Semenanjung dan kian bertumbuh.
Yang terbaru ialah di Subang Perdana, dilancarkan September lalu. Sidang yang berikutnya direncanakan di I-City, bandar baru yang sedang berkembang di sempadan Shah Alam-Kelang.
Keanggotaan di seluruh negara pada waktu ini berjumlah 300,000 orang. Dan itu hanya mengira orang-orang dewasa.
Ketua SIB Semenanjung, Pastor Danil Raut, mendakwa bahawa jumlah itu akan menjadi dua kali ganda jika mengambil kira kanak-kanak daripada keluarga-keluarga yang pergi ke gereja; kanak-kanak tidak dikira dalam jumlah keanggotaan.
Kanak-kanak yang di bawah umur dianggap sebagai ahli bersekutu sehinggalah mereka mencapai umur kematangan, seperti mana juga orang-orang Kristian daripada denominasi lain yang memilih mengikuti ibadah di sebuah gereja SIB.
"Keahlian penuh hanyalah diberi selepas kanak-kanak itu dibaptis, yang hanya dijalankan selepas mereka berumur 14 tahun, sebab pada usia itu, kami percaya mereka sudah cukup umur untuk berfikir dan memilih agama mereka," Raut menjelaskan.
SIB pada mulanya telah diasaskan di Sarawak oleh sekumpulan misionari dari Australia.
Pada waktu itu, ianya dikenali sebagai Borneo Evangelical Mission (BEM), suatu pergerakan lintas denominasi. Ianya merupakan gandingan beberapa corak penyembahan Kristian - termasuk Anglikan, Baptis, Methodis, Lutheran dan Presbyterian dan lain-lain.
Gereja itu telah dinamakan semula sebagai SIB pada 1959, untuk lebih mencerminkan kepimpinan tempatan selepas kepulangan masyarakat misionari asing selepas Perang Dunia Kedua.
Gereja itu mengalami satu lagi detik penting pada 1990 apabila bilangan jemaat mudanya yang semakin bertambah mula menyeberangi Laut Cina Selatan untuk mencari kehidupan yang lebih bagus, oleh kerana kekurangan pilihan dalam pekerjaan dan pembelajaran.
Pemimpin-pemimpin gereja di Borneo memutuskan bahawa perlembagaan mereka perlu dipinda untuk melayani keperluan jemaat mereka yang berpindah, yang membawa kepada penubuhan cawangan baru, iaitu SIB Semenanjung.
Ps. Richard Samporoh adalah salah seorang perintis awal SIB di Semenanjung |
Pastor Richard Samporoh adalah di antara perintisnya. Kini berusia 50-an, dia melayani sebagai penasihat gereja di bahagian Semenanjung.
Anak watan Sabah itu telah memulakan persekutuan di kalangan penuntut-penuntut universiti pada 1990. Tiga tahun kemudian, dia telah menyusuli dengan jemaat pertama SIB di kawasan separa bandar Damansara Jaya, suatu kawasan kelas pertengahan di Petaling Jaya, dengan ibadah dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.
Sidang itu telah ditutup setahun kemudian. Samporoh tidak menjelaskan mengenai sebab-sebabnya.
"Penginjilan adalah mengenai membawa bersama gereja dan umat," Samporoh memberitahu The Malaysian Insider.
"Bagaimanakah untuk melakukan ini? Dua cara. Satu dengan membawa umat ke gereja; dan yang kedua, dengan membawa gereja kepada umat," tambahnya.
Strategi pertama menyasarkan kelompok berbahasa Inggeris yang tinggal di kawasan bandar dan separa bandar, sementara yang kedua ditujukan kepada Orang Asli yang tinggal di pedalaman, di mana 70 peratus masih berpegang kepada kepercayaan animistik, kata Samporoh.
Dia menerangkan strategi dua serampang yang membantu SIB meneruskan pelayanan misionarinya, dan dengan itu memperluaskan perbatasan Kekristianan.
"Di bandar-bandar, kita menjangkau mereka yang sudah percaya." Samporoh sambil senyum menjelaskan mengenai perpindahan orang-orang Kristian daripada gereja-gereja tradisi kepada gereja-gereja yang lebih baru dan yang menekankan penginjilan.
(Diterjemahkan daripada artikel The Malaysian Insider bertajuk "SIB Grows The Fastest" penulisan Debra Chong bertarikh 28 Mei 2010)