Ahad, 25 Oktober 2015

4 Golongan Artikel Yang Saya Muatkan Di Blog


Oleh Si Domba Putih:

Ramai dari kawan-kawan yang membaca blog domba2domba akan tahu bahawa banyak artikel yang terkandung di dalam blog ini adalah artikel terjemahan. Ya memang benar, kebanyakan artikel dalam blog ini adalah terjemahan. Namun begitu, apabila saya duduk dan memikirkannya, sebenarnya ada empat golongan artikel yang biasa saya muatkan di blog ini.

1. Artikel Terpilih

Hampir kesemua artikel dalam blog ini boleh dikatakan artikel terpilih. Saya biasanya memilih artikel yang terbaik yang dapat saya cari dari pelbagai sumber untuk dimuatkan ke blog. 

Yang mana kan kupilih?
Apakah artikel yang biasa saya cari? Biasanya saya akan mencari artikel-artikel dengan ciri-ciri berikut;

a)  Pendik dan Menarik
b)  Mudah Difahami
c)  Menguatkan Iman
d)  Menyayat Hati

Walaupun bukan semua artikel yang saya pilih akan memiliki kesemua ciri-ciri itu, namun biasanya artikel yang saya suka akan memiliki beberapa ciri itu.

Baru-baru ini seorang pemudi memberitahu saya bahawa kawan-kawannya suka membaca blog domba2domba kerana ianya mudah difahami. Saya sebenarnya tidak menyangka mendapat komen seperti itu, tetapi memang itulah salah satu ciri yang saya utamakan dalam penulisan blog ini.

2. Artikel Terjemahan

Majoriti besar artikel dalam blog ini merupakan artikel terjemahan. Artikel terjemahan boleh digolongkan dalam dua kumpulan:

Asmirandah
a)  Terjemahan dari Bahasa Inggeris
b)  Alihbahasa dari Bahasa Indonesia

Oleh kerana terdapat begitu banyak artikel yang bermanfaat dari sekeliling dunia, maka rugilah kita jika tidak memanfaatkan khazanah Kristian dari pelbagai sudut dunia. Artikel terjemahan di blog ini kebanyakannya dari Bahasa Inggeris. Antara artikel terjemahan dari Bahasa Inggeris yang paling popular ialah kesaksian Manny Pacquiao dan Johnny Lever.

Artikel alihbahasa dari Indonesia juga sangat istimewa dan beberapa artikel yang paling popular berasal dari Bahasa Indonesia, antara yang paling diminati ialah kesaksian Asmirandah dan kesaksian Vaness Wu (kedua artikel ini menduduki tempat pertama dan kedua dalam senarai artikel terpopular blog ini).

Namun begitu bukan saja artikel kesaksian yang paling popular di blog ini. Artikel-artikel nasihat cinta yang telah diterjemah atau dialihbahasa juga sangat diminati, umpamanya artikel viral "10 Lelaki Yang Wanita Kristian Tidak Harus Kahwini" penulisan J. Lee Grady dan "7 Checklist Memilih Pasangan Hidup Anda" karangan Philip Mantofa.

Sejak memulakan blog, saya mendapati diri saya memang suka menterjemah dan saya boleh lakukannya dengan agak cepat. Yang mengambil masa yang banyak ialah usaha mencari dan memilih artikel yang sesuai untuk diterjemahkan. Seperti juga tukang masak, masa persediaan makanan dan ramuannya mengambil lebih banyak masa daripada masa memasak itu sendiri!

3. Artikel Tulisan Sendiri

Saya suka menterjemah! Itu lebih mudah bagi saya daripada menulis artikel sendiri. Namun begitu terdapat beberapa artikel tulisan sendiri yang saya gemari, umpamanya:



Dalam blog ini juga terdapat segmen khas Tahukah Anda? Artikel-artikel di situ biasanya hasil dari penyelidikan dan penyusunan saya sendiri. Antara yang saya paling minati ialah:

Klik di gambar untuk
imej lebih besar
Tahukah Anda... Populasi Malaysia Mengikut Kaum Untuk Tahun 2010?
Tahukah Anda... Populasi Kristian Di Malaysia Mengikut Kaum Untuk Tahun 2010?

Seorang kawan dari Sabah pernah menghubungi saya melalui Facebook kerana ingin memuatkan graf Populasi Kristian di Malaysia (gambar kanan) dalam majalah ulangtahun gerejanya. Graf "donut" ini juga telah dimuatkan di beberapa laman web lain.

4. Artikel Kutipan Langsung

Sebahagian kecil artikel dalam blog ini adalah artikel yang dikutip terus dari portal atau laman lain. Kebanyakan artikel kutipan langsung ini adalah artikel jenis berita atau isu semasa yang diperolehi daripada media cetak dan elektronik, blog atau laman web yang lain. Antara artikel kutipan langsung yang dimuatkan di blog ini:

Isu Pelajar Peluk Islam: Jilius Bimbang Hilang Anak Terus
Kami Diperdaya Masuk Islam, Dakwa Penduduk Kristian Di Pedalaman Sabah
Pernahkah Yesus Mengaku Dirinya Sebagai Anak Allah Dalam Kitab Injil?

Artikel kutipan langsung adalah jenis yang paling mudah dimuatkan sebab hanya perlu salin dan tampal (copy & paste) ke dalam blog. Namun begitu saya tidak begitu kerap menggunakan artikel kutipan terus dari laman lain.

Secara peribadi, sekiranya mungkin, saya lebih suka "tambah nilai" (add value) untuk para pembaca dengan cara menulis artikel sendiri atau menterjemah artikel yang hanya wujud dalam bahasa lain. Dengan demikian, saya berharap dapat secara tidak langsung menyumbang ke arah memperkaya khazanah penulisan Kristian di Malaysia.

Akhirnya, harapan saya ialah agar artikel-artikel yang dimuatkan di blog ini samada artikel-artikel terpilih, terjemahan, tulisan sendiri ataupun kutipan langsung akan menjadi berkat kepada para peminat dan pembaca blog ini.