William Tyndale, orang pertama menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Inggeris dari bahasa asal Ibrani dan Yunani |
William Tyndale (1494-1536), seorang sarjana dan jurubahasa yang sangat berkebolehan, adalah orang pertama untuk menterjemahkan Alkitab ke dalam Bahasa Inggeris dari bahasa asal Ibrani dan Yunani. Tyndale ingin semua orang di England, dari budak yang membajak ladang sampailah kepada raja, untuk dapat membaca Firman Tuhan dalam bahasanya sendiri.
Halaman depan Injil Yohanes dari naskah Perjanjian Baru edisi tahun 1525 terjemahan Inggeris William Tyndale (Bristish Library) |
Oleh kerana terjemahan Bahasa Inggeris telah dilarang di England, Tyndale membawa diri ke benua Eropah untuk meneruskan kerja-kerja penterjemahannya. Pengintip-pengintip telah dihantar ke Eropah untuk menangkap Tyndale, tetapi dia tetap dalam persembunyian. Naskah-naskah Perjanjian Baru terjemahannya telah dicetak di Eropah dan diseludup ke England.
Pada 1536, Tyndale telah dikhianati dan ditangkap oleh pihak berkuasa, yang membicarakannya dan mendapatinya bersalah atas tuduhan penyelewengan agama. Pada 6 Oktober 1536, Tyndale telah dicekik dan dibakar sambil diikat pada tiang kayu. Mereka yang menyaksikan hukuman matinya mendengar doanya yang terakhir sebelum mati, "Tuhan, celikkanlah mata Raja England." Dalam masa beberapa bulan, Raja Henry VIII telah mengizinkan Alkitab Bahasa Inggeris.
Alkitab lengkap pertama dalam Bahasa Inggeris terdiri kebanyakannya daripada terjemahan Tyndale. Terjemahan-terjemahan yang terkemudian terus didasarkan pada Alkitab Tyndale; 83% daripada King James Version adalah daripada hasil kerja Tyndale. Alkitab terjemahan Tyndale telah membantu mencorak dan membentuk bahasa Inggeris.
(Diterjemah oleh SDP daripada artikel laman HBU bertajuk "English Bible")