Pastor Kong Hee, Pastor Senior Gereja City Harvest, Singapura |
Petikan di bawah diterjemah daripada catitan Facebook Pastor Barnabas Chong, seorang pastor Gereja Methodist di Singapura:
"Apakah ertinya bagi kita sekarang bahawa kesemua 6 pastor, pemimpin gereja dan kakitangan kanan CHC (City Harvest Church) telah didapati bersalah oleh hakim?
Adakah hakim itu melakukan kesilapan? Bolehkah sistem kehakiman Singapura dipercayai? Apakah pilihan bagi kita?
Kita boleh samada memilih untuk tidak mempercayai sistem kehakiman Singapura dan mengelarkannya satu keputusan yang silap (walaupun realitinya kita sebagai rakyat Singapura tahu bahawa kita memiliki satu sistem kehakiman yang kukuh, adil dan tidak berkrompomi) ataupun mempercayainya dan mengelarkan apa yang telah dilakukan oleh enam orang itu satu kesalahan jenayah.
Jika ini sesungguhnya satu kesalahan jenayah, adakah itu bererti bahawa Pastor Kong Hee adalah seorang yang palsu dan tidak pernah melakukan apa-apa yang baik? Tentu tidak!
Adakah dia memiliki visi untuk gerejanya? Ya, saya percaya dia ada.
Adakah dia secara umumnya memimpin gerejanya dengan baik? Ya, saya percaya dia lakukan itu.
Adakah dia menyampaikan Firman Tuhan dengan baik? Tentu sekali, dan dia ialah salah seorang pengkhutbah kegemaran saya.
Adakah dia memenuhi tujuan-tujuan Tuhan untuk CHC? Dalam banyak cara, ya.
Tetapi adakah Pastor Kong seorang manusia yang boleh melakukan kesalahan seperti setiap kita? Itu juga ya.
Bolehkah dia bersalah seperti yang dituduh? Ya, kecualilah kita percaya bahawa hakim telah membuat kesilapan besar dalam kes ini.
Bolehkah kita masih mengasihi Pastor Kong dan berdoa untuknya walaupun didapati bersalah oleh proses kehakiman Singapura? Tentu saja!
Bolehkah anggota-anggota CHC terus memberi sokongan kepadanya? Ya, saya percaya boleh.
Adakah mereka bodoh jika mereka melakukan itu? Tidak semestinya, terutamanya jika mereka menganggap CHC sebagai sebuah keluarga - dan keluarga bererti tidak seorang pun ditinggalkan!
Patutkah kita sekarang melemparkan batu kepada Pastor Kong? Tidak, kita semua pun orang berdosa.
Patutkah dia bertaubat? Itu urusan dia dengan Tuhan.
Dalam waktu Tuhan, Dia menjadikan segalanya indah. dan masa Tuhan selalu sempurna. Tuhan sentiasa penuh kasih karunia dan selalu ada apabila kita berpaling kembali kepada-Nya. Dia mengampuni dengan murah hati dan memulihkan dengan sepenuhnya.
Patutkah orang menjadi kecewa dengan iman Kristian oleh kerana keputusan mahkamah ini? Tentu sekali tidak!
Baca saja Alkitab dan anda akan mendapati bahawa Tuhan tidak pernah menyembunyikan hakikat bahawa tokoh-tokoh Alkitab tidak mempunyai hidup yang bebas dari dosa.
Raja Daud, umpamanya, bersalah atas perzinaan dan pembunuhan, tetapi dia berpaling kembali kepada Tuhan, Tuhan mengubah dia dan dia kemudian dikatakan sebagai seorang yang berkenan pada Tuhan.
Paulus adalah seorang yang kuat beragama, percaya pada Tuhan, namun menjadi penganiaya orang-orang Kristian, Tuhan mengubahnya dan dia menjadi rasul yang teragung sepanjang zaman.
Asas iman Kristian bukanlah agama untuk orang-orang kudus yang sempurna, tetapi agama untuk orang-orang berdosa dan tersesat yang sedang disempurnakan oleh kasih karunia Tuhan."