Rabu, 28 Oktober 2015

Kong Hee Memohon Maaf Kepada Jemaat City Harvest

Kong Hee berucap kepada jemaat City Harvest semasa kebaktian Ahad lalu.

Pastor City Harvest Church, Kong Hee memohon maaf kepada jemaatnya hujung minggu lalu selepas didapati bersalah dalam perbicaraannya atas tuduhan pecah amanah. 

Menurut perkhidmatan berita Asia One, pada pagi Ahad, Kong menghadapi auditorium yang penuh sesak di pusat konvensyen Suntec, tunduk dan berkata, "Pastor minta maaf." Dia telah menggunakan kata-kata yang sama semasa kebaktian pada Sabtu malam. 

Kong, timbalan pastornya Tan Ye Peng, pengurus kewangan Sharon Tan dan bekas pengurus kewangan Serina Wee telah didapati bersalah dengan bekas ahli lembaga John Lam dan Chew Eng Han menyalahgunakan US$ 17 juta (S$24 juta) dari dana pembangunan gereja untuk mengembangkan karier isteri Kong, Ho Yeow Sun, yang dikenai sebagai Sun Ho. US18.5 juta (S$26 juta) lagi telah digunakan untuk menutupi skim itu melalui satu sistem pengeluaran bon yang kompleks dan urusniaga "round-tripping" di mana gereja menggunakan wangnya sendiri untuk membayar hutang yang dihutang kepadanya. 

Dana itu telah digunakan untuk menyokong karier Sun Ho melalui "Projek Crossover" CHC, yang bertujuan mempromosikan suara Kristian dalam industri muzik sekular - satu kaedah misi yang lebih biasa digunakan di Barat, tetapi jarang dilakukan di Timur. 

Kong menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Kong Hee tunduk dan memohon maaf kepada jemaat City Harvest

Sebuah laman web yang lain, Mothership.sg, telah mencatit secara terperinci ucapan Kong. Dia memberitahu jemaat, "Saya tahu apa yang saya bakal katakan ini telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan, sejak malam tadi. Namun begitu, saya fikir ianya penting bagi saya sebagai Senior Pastor kamu untuk melafazkan dari hati saya kepada kamu pada pagi ini. Oleh itu walaupun kamu sudah mendengarnya, berilah saya peluang untuk mengatakannya.

"Dalam beberapa hari yang lepas, ramai di antara kamu telah menanya saya, 'Pastor, bagaimana keadaanmu?' Saya telah menerima beratus-ratus mesej teks, emel, dan tentu sekali saya berasa sedih dengan keputusan dari perbicaraan. Tetapi yang ini saya ingin katakan.

"Kamu telah menderita begitu banyak dalam beberapa tahun yang lepas kerana komitmen kamu kepada City Harvest Church. Dan komitmen kamu kepada saya. Saya minta maaf atas segala kesakitan dan kacau-bilau yang kamu perlu tanggung di bawah kepimpinan saya, di bawah penjagaan saya. Kamu terpaksa menjawab soalan, dan kritikan daripada keluarga, kawan-kawan dan rakan-rakan sekerja.

"Pastor sangat meminta maaf. Sangat, sangat meminta maaf. Bahawa kamu perlu menanggung semua ini di bawah kepimpinan saya."

Dia tunduk tiga kali dalam tiga arah yang berlainan sambil jemaat berdiri dan memberi tepukan.

Kong memberitahu jemaat bahawa masa depan gereja adalah terjamin, "oleh kerana kamu dan barisan kepimpinan baru yang telah dipilih," Dia menambah, "Dari debu kita akan bangkit lagi."

Pastor eksekutif gereja, Aries Zulkarnain menunjukkan petikan daripada keputusan hakim di layar skrin. Yang pertama itu mengakui bahawa mereka berenam yang didapati bersalah itu "mencintai CHC" dan percaya mereka menggunakan dana gereja untuk tujuan penginjilan yang mana akan dipersetujui oleh jemaat.


Terjemahan keputusan bertulis hakim (Perenggan 187)

Yang kedua mengatakan bahawa mereka mengetahui mereka menggunakan dana itu dengan cara yang mereka tidak berhak gunakan secara perundangan dan merujuk kepada "unsur ketidakjujuran" dalam perlakuan mereka.


Terjemahan keputusan bertulis hakim (Perenggan 187)

Zulkarnain berkata, "Walaupun kita mungkin tidak dapat memahami makna sepenuh penghakiman ini, satu perkara untuk diketahui ialah hakim telah mengakui bahawa niat mereka berenam adalah cinta mereka pada gereja dan mereka percaya bahawa mereka sedang menggunakan dana gereja untuk tujuan penginjilan." Dia berkata bahawa gereja akan menambah baik pengurusannya.

Pastor dari Amerika Syarikat, A R Bernard, pengasas Christian Cultural Centre yang berpusat di New York, berkhutbah dalam kebaktian itu, menekankan mengenai pentingnya terus setia walaupun menghadapi kesukaran.

Kong dan isterinya Sun Ho menutup kebaktian dengan sebuah lagu. Sun Ho berkata, "Terima kasih kerana berada di sini, kerana berani dan memberi sokongan. Terima kasih kerana kasihmu. Ianya membawa kesan yang sungguh kepada semua kami dan ahli-ahli keluarga kami. Terima kasih, terima kasih, terima kasih."

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Kong Hee's First Appearance At City Harvest After Fraud Verdict, 'Pastor Is Sorry'" penulisan Mark Woods bertarikh 26 Oktober 2015)