Selasa, 15 Disember 2015

Peserta Pusingan Akhir "The Voice" Jordan Smith: "Imanlah Yang Telah Memberi Saya Kekuatan Dan Sukacita"

Jordan Smith, salah seorang peserta pusingan akhir "The Voice"

Samada dia memenangi pertandingan menyanyi "The Voice" atau tidak, peserta Kristian Jordan Smith tidak syak lagi adalah bintang dengan caranya yang sendiri.

Pusingan akhir "The Voice" Musim ke-9 telah jadualkan pada Selasa 15 Disember 2015.

Menurut CBN, pelajar kolej berumur 21 tahun itu dari pekan kecil Harlan, Kentucky, yang menjadi sebahagian dari pasukan Adam Levine, hampir dapat mengatasi Adele dari tempat teratas iTunes selepas dia menyanyi lagu Queen berjudul "Somebody To Love" semasa separuh akhir pada Rabu malam. 

Ketika ditanya mengenai persembahan Smith, penyanyi utama Maroon 5, Levine menjawab, "Saya tak perlu katakan apa-apa langsung sebab itu adalah salah satu yang terbaik pernah saya lihat dalam seumur hidup."

4 peserta dalam Pusingan Akhir "The Voice":
Jordan Smith (atas kiri), Emily Ann (atas kanan),
Barrett Baber (bawah kiri), Jeffery Austin (kanan)
Tetapi selain daripada kebolehan vokalnya yang mengkagumkan, apa yang membezakan Smith daripada peserta-peserta lain "The Voice" ialah iman Kristiannya yang kuat.

"Saya sangat suka pimpin penyembahan dan ibu bapa saya benar-benar mendorong saya untuk menyanyi di gereja," kata Smith. "Iman saya itulah siapa diri saya dan saya ingin kongsikan itu dengan dunia," katanya semasa temuramah online dengan DJ Chuang dari "Spinning Up Disruptive Ideas."

Sebagai peserta "The Voice" dia merasa tekanan yang amat besar, dan mendapati begitu banyak perkara yang dia perlu pelajari dan atasi. Tetapi oleh kerana kasihnya yang mendalam kepada Tuhan, Smith berkata dia memiliki fikiran yang jelas di tengah segala hal yang berlaku. 

"Iman sayalah yang telah memberi saya kekuatan dan yang memberi saya sukacita. Pada penghujung hari, dengan segala masalah dan persoalan yang dihadapi, saya boleh datang kepada Tuhan dan mendapat damai dalam situasi saya. Itulah hal utama yang telah membawa saya melalui ini. Hubungan saya dengan Tuhan yang menjadi peringatan bagi saya dan telah menjadi asas pegangan saya melalui semuanya," dia menjelaskan. 

Dan tidak kira siapa yang memenangi "The Voice" Musim ke-9 pada hari Selasa, Smith berkata dia langsung tidak khuatir mengenai masa depannya sebab dia tetap bersikap optimis setiap masa.

"Pentas ini telah membuka begitu banyak pintu untuk saya dan memberi saya begitu banyak kesempatan untuk mengungkapkan muzik dengan begitu banyak cara," katanya. "Pada waktu ini, saya menanti sambil berdoa dan melakukan yang terbaik mungkin. Apa pun yang akan berlaku. saya tahu bahawa saya akan terus menceburi muzik dan memimpin penyembahan ke mana pun saya pergi. Walau pun masa depan saya masih belum menentu pada waktu ini, saya tahu Siapa yang memegang masa depan, dan saya akan terus bergerak dan percaya pada rencana Tuhan untuk saya."

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "'The Voice' Finalist Jordan Smith: "My Faith Is The Thing That Gives Me Strength And That I Find Joy In" penulisan Czarina Ong bertarikh 14 Disember 2015)