Khamis, 21 April 2016

Biskop-Biskop Anglikan Mahu Tindakan Ke Atas Penceramah Islam Yang Didakwa Menyamar Sebagai Bekas Paderi

 Ng berkata bahawa penyampaian maklumat salah mengenai latar belakang Ayub dalam poster
promosi menunjukkan niat "jahat" di pihak penderamah itu (Foto Malay Mail/Choo Choy May)

KUALA LUMPUR, 21 April - Tiga daripada biskop Anglikan paling senior di Malaysia mahu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap sarjana Islam yang juga pemenang anugerah, Ayub Abdul Rahman yang didakwa mereka memberi ceramah kepada orang-orang awam dengan menyamar secara palsu sebagai bekas paderi daripada gereja mereka.

Datuk Ng Moon Hing, Biskop Besar Gereja Anglikan untuk Asia Tenggara; Melter Tais, biskop diosis Sabah dan Datuk Bolly Lapok, biskop diosis Kuching mengecam pihak-pihak yang berulangkali menonjolkan dakwaan kaitan masa lampau penceramah itu dengan Kristian tanpa usul periksa yang sewajarnya.

"Tindakan seperti ini bersifat nakal dan merosakkan dalam masyarakat yang berbilang agama," tiga biskop itu berkata dalam satu kenyataan bersama kepada Malay Mail Online malam tadi. 

Biskop-biskop Kristian itu juga berkata penyampaian maklumat salah mengenai latar belakang Ayub dalam poster promosi menunjukkan niat "jahat" di pihak penceramah itu, di pihak penganjur ceramah yang memaparkan penceramah itu, atau media yang berusaha menonjolkan kelayakan "palsu" itu tanpa usul periksa.

"Kami menyeru kepada pihak penganjur untuk serta-merta memperbetulkan kesilapan yang memudaratkan ini yang turut disumbang oleh mereka dan tanggapan yang sama sekali palsu yang telah diberikan mengenai penceramah itu.

"Kami juga menyeru kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dengan teliti untuk menghalang berlakunya bentuk-bentuk pemalsuan seperti ini ke atas orang-orang awam yang tidak menyedarinya."

Mereka berkata bahawa kebebasan beragama dan berucap secara berpelembagaan telah disalahgunakan dalam insiden ini dan mengundang reaksi buruk terhadap agama penceramah itu sendiri "yang berucap atas nama agama itu."

"Kami juga secara serius mempersoalkan asas di mana dia dikatakan telah diberi anugerah Maal Hijrah untuk orang-orang yang masuk Islam oleh pihak berkuasa agama di Sarawak pada 2005," tambah mereka. 

Kontroversi ini mula timbul apabila pengguna-pengguna Facebook terlihat poster bertarikh 12 April di laman Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) yang menyatakan Ayub sebagai seorang bekas paderi besar di Gereja St. Augustine of Canterbury di "Frankfurter" di Jerman dan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2005 untuk Sarawak bagi kategori saudara-saudara baru Islam.

Para pengguna mengagak bahawa kelayakannya itu adalah rekaan, dan ini telah disahkan kemudiannya oleh gereja Episcopal di Wiesbaden, Jerman, yang memaklumkan Malay Mail Online bahawa Ayub tidak pernah melayani sebagai seorang paderi atau memegang apa-apa jawatan rasmi di situ.

Menurut bahan promosi baru untuk "Mahrajan Ilmu Al-Quran Sabah 2016" yang telah dimuatkan di Facebook petang semalam, Ayub yang pada mulanya dijadualkan berceramah dalam dua acara, tidak lagi akan menyampaikan ceramah semasa konvensyen itu.

Bahan-bahan promosi untuk "Mahrajan Ilmu Al-Quran Sabah 2016" dipercayai telah disediakan oleh Institut Pengajian al-Quran (IPaQ), penganjur bersama acara itu yang telah bermula semalam.

Pengajur-penganjur bersama yang lain konvensyen itu adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jheains, Majlis Agama Islam Sabah, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cawangan Sabah.

Laman Facebook IPaQ menerangkan dirinya sebagai sebuah badan bukan kerajaan dan sebuah yayasan yang bertapak di Masjid Tun Abdul Aziz di Petaling Jaya, juga menyatakan bahawa ianya mengendalikan program-program untuk mempelajari dan megamalkan pengetahuan daripada al-Quran.

Seorang pegawai senior dengan Majlis Islam Sarawak enggan melayan permintaan Malay Mail Online untuk maklumat lanjut mengenai Ayub dan termasuk maklumat umum mengenai anugerah Tokoh Maal Hijrah itu, dengan berkata bahawa dia telah "dinasihat" untuk tidak mendedahkan apa-apa maklumat kepada media.

"Saya telah dinasihat oleh Cawangan Khas, saya tidak boleh memberikan kepada anda sebarang maklumat mengenai peribadi yang anda tanya," pegawai itu berkata ketika dihubungi melalui telefon pada pagi tadi.

(Diterjemah daripada artikel Malay Mail Online bertajuk "Claiming Fraud, Anglican Clerics Seek Action Against Muslim Preacher Posing As Ex-Priest" penulisan Ida Lim bertarikh 21 April 2016)