Khamis, 4 Ogos 2016

Jaguh Olimpik, Michael Phelps Terselamat Dari Bunuh Diri Oleh Buku "The Purpose Driven Life"

Michael Phelps dengan buku, The Purpose Driven Life" di tangannya

Michael Phelps - ahli sukan dengan paling banyak pingat dalam sejarah Olimpik, yang telah memenangi 22 pingat, 18 daripadanya emas, ketika berenang dalam empat kejohanan Olimpik - begitu kecewa pada September 2014 sehingga dia terfikir untuk menamatkan nyawanya, majalah ESPN mendedahkan dalam edisi 18 Julainya.

"Saya seperti nahas keretapi," Phelps memberitahu ESPN. "Saya seperti bom jangka, menanti untuk meletup. Saya tidak ada keyakinan diri, tidak ada harga diri. Ada waktu-waktunya saya tidak ingin ada di sini. Keadaan saya tidak baik. Saya kehilangan arah."

Pada waktu itulah timbul satu foto yang menunjukkannya menghisap dadah. Dia juga telah ditahan polis dua kali dalam 10 tahun untuk kesalahan memandu ketika mabuk - yang terakhirnya pada 30 September 2014 ketika hidupnya jatuh ke "paras paling bawah". 

Hari-hari yang berikutnya, Phelps tinggal kebanyakan masa di biliknya, dan memikirkan untuk membunuh diri. 

Pada waktu itu, Phelps berkata dia berfikir, "Inilah penghujung hidup saya... Berapa kalikah saya akan membuat hal? Mungkin dunia akan lebih baik tanpa saya." 

Phelps berkata bahawa dia mengasingkan diri, tidak makan, dan kurang sekali tidur untuk sekurang-kurangnya seminggu sambil dia berjinak-jinak dengan fikiran membunuh diri. 

Ray Lewis, seorang bintang NFL telah menasihatkan
Phelps untuk mendapat bantuan di pusat pemulihan
dan memberikannya buku "The Purpose Driven Life"
Tetapi kemudian kawan lamanya yang seorang Kristian, bintang NFL, Ray Lewis telah muncul untuk menyelamatkannya. Lewis menelefon kawan baiknya dan memberitahunya, "Iniah waktunya kita melawan balik. Inilah waktunya kita menunjukkan karakter kita yang sebenar. Jangan putus harapan. Jika anda putus harapan, kita semua kalah."

Lewis menyakinkan Phelps untuk mendapatkan bantuan di Meadows, satu pusat pemulihan tingkah laku di luar Phoenix. 

Phelps mendengar nasihat kawannya dan memasuki pusat pemulihan itu dengan membawa sebuah buku yang telah diberikan Lewis kepadanya, "The Purpose Driven Life" yang ditulis oleh Rick Warren.

Setelah membaca buku itu beberapa hari di Meadows, Phelps menelefon Lewis. "Wah, buku ini hebat!" serunya. "Sesuatu sedang berlaku... dalam fikiranku, Terima kasih yang tak terhingga, kawanku. Kau telah selamatkan nyawaku."

Phelps berkata bahawa buku itu "telah membuat saya percaya bahawa ada kuasa yang lebih besar daripada saya dan bahawa ada tujuan untuk saya di bumi ini."

Buku Warren juga telah menyakinkan Phelps untuk memulihkan hubungan dengan ayahnya, Fred, yang sudah lama menjauhkan diri, yang telah bercerai dengan emaknya ketika Phelps cuma berusia 9 tahun. 

Ketika kedua mereka bertemu untuk pertama kali selepas perpisahan yang bertahun-tahun, mereka berpelukan dengan erat. 

Selepas meninggalkan Meadows pada November 2014, Phelps telah menyambung semula latihan untuk Olimpik Rio. 

Michael Phelps dengan isteri
dan bayinya Boomer
Tiga bulan kemudian dia telah melamar teman wanitanya yang sudah lama dikenalinya, Nicole Johnson untuk menjadi isterinya. Pada 5 Mei yang lepas, Johnson telah melahirkan anak pertama mereka, Boomer Robert. 

Lagenda Amerika itu telah menunjukkan bahawa dia masih memiliki kemampuan untuk menjuarai pelbagai acara, berenang dalam masa terpantas dalam 200m medley individu, 100m kuak kupu-kupu dan 200m kuak kupu-kupu di Kejohanan Kebangsaan Amerika Syarikat 2015.

Sambil dia menyambut harijadinya yang ke-31 pada 30 Jun, Phelps telah melayakkan diri dalam tiga acara individu, dan mungkin tiga lagi acara relay, untuk mewakili pasukan renang Olimpik Amerika Syarikat di Rio. 

Phelps berkata Rio 2016 adalah Olimpik yang kelima dan terakhir untuknya.





(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Today yang bertajuk, "Legendary U.S. Swimmer Michael Phelps Reveals How 'Purpose Driven Life' By Rick Warren Saved Him From Suicide" yang ditulis oleh Hazel Torres bertarikh 3 Ogos 2016)