Isnin, 19 September 2016

Babak-Babak Yesus Telah Disunting Dari Penayangan Tempatan Filem Ben-Hur?

Pelakon Jack Huston dan Morgan Freeman dalam satu babak filem Ben-Hur

KUALA LUMPUR, 17 Sep - Filem Ben-Hur yang telah mula ditayangkan di sini pada Khamis lepas telah disunting untuk mengeluarkan babak-babak Yesus Kristus yang penting bagi jalan ceritanya, begitu didakwa penonton-penonton tempatan.

Filem itu, yang diedarkan oleh United International Pictures (UIP) Malaysia, adalah berdasarkan novel abad ke-19 Ben-Hur: A Tale of Christ, yang menceritakan kisah fiksyen seorang putera Yahudi yang telah diperhambakan yang ceritanya terjadi sejajar dengan kisah Kristus. 

Kedua-dua mereka sering bertemu satu sama lain dalam novel itu, dengan Yesus memainkan pengaruh penting dalam kehidupan watak utama itu, Judah Ben-Hur. 

Seorang pengguna Facebook dengan nama Jerry Terry Derulo pada hari Rabu telah mengucapkan terima kasih kepada pengedar filem itu yang telah mengundangnya mengikuti penayangan sulung filem tersebut pada hari Selasa, tetapi menyatakan bahawa terdapat bahagian-bahagian jalan cerita yang penting yang kehilangan dari kisah klasik itu.

"Versi Malaysia adalah versi yang diedit di mana kisah mengenai Yesus telah dipotong dengan sepenuhnya! Panjang sebenar filem itu menurut IMDB adalah 125 minit; versi Malaysia yang telah disunting hanyalah 114 minit," tulisnya.

Semakan secara online bagaimanapun menunjukkan maklumat yang bercanggah mengenai kepanjangan filem itu dari 125 minit ke 150 minit. 

UIP kelihatan mengakui ini dalam respons mereka, tetapi tidak menyatakan secara jelas sebab-sebab untuk pengurangan itu. 

"Hai Jerry Terry Derulo, terima kasih kerana mengikuti penayangan sulung semalam. UIP Malaysia perlu mengikuti keperluan dan garis panduan tempatan yang sah untuk dapat menayangkan filem itu. Bagaimanapun kami berharap filem itu memberi kepuasan dan anda telah menikmatinya. Terima kasih sekali lagi," begitu respons pengedar filem itu pada ruangan komen yang sama dalam laman rasmi Facebook mereka. 

Sejak itu, lebih ramai lagi pengguna Facebook telah dikesan membuat rungutan yang serupa, dengan seorang bernama Christine Ooi Wai Ching mengatakan bahawa babak-babak penyaliban Yesus telah disunting habis.

Ben-Hur adalah pembikinan semula kontemporari Hollywood untuk epik 1959 yang memenangi anugerah, yang membintangi Jack Huston, Toby Kebbell, Rodrigo Santoro, Nazanin Boniadi, Ayelet Zurer dan Morgan Freeman.

Ben-Hur: A Tale of Christ telah digelar salah satu kisah Kristian paling berpengaruh pada zamannya, dan telah diberkati oleh Paus Leo XIII untuk menjadi kisah fiksyen yang pertama sekali menerima penghormatan itu. 

(Diterjemah oleh SDP daripada artikel The Malay Mail bertajuk, "Jesus Scenes Cut From Local Version of Ben Hur?" bertarikh 17 September 2016)