Isnin, 19 September 2016

Lembaga Penapisan Filem: Kami Tidak Sunting Babak-Babak Yesus Dari Ben-Hur

Pelakon Jack Huston yang melakonkan watak utama Judah Ben-Hur dalam filem Ben-Hur

KUALA LUMPUR, 17 Sep - Lembaga Penapisan Filem (LPF) hari ini berkata ianya tidak menyunting babak-babak Yesus Kristus dari filem Ben-Hur yang telah mula ditayangkan di pawagam tempatan pada hari Khamis.

Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid seterusnya mengatakan bahawa dia tidak ingat melihat babak-babak sedemikian dari filem yang dikemukakan, dan menambah bahawa ada kemungkinan versi Malaysia adalah versi yang "berbeza" daripada yang ditayangkan di tempat lain.

"Kemungkinan, tetapi bukan oleh kami, mungkin dari pihak penerbit ketika mereka menghantar filem itu ke Malaysia, mereka sudah menyunting babak-babak itu, mereka tahu ada hal-hal yang sensitif," dia memberitahu Malay Mail Online ketika dihubungi hari ini.

Abdul Halim berkata pembikin filem kadang-kadang ada versi filem mereka yang berbeza ketika mengeksport ke rantau yang berbeza.

Ditanya samada LPF telah membuat suntingan ke atas filem itu, Abdul Halim berkata dia tidak dapat ingat sebab bilangan filem-filem yang dikemukakan yang perlu diluluskan oleh lembaga itu, dengan menambah bahawa dia perlu merujuk kepada rekod rasmi pada hari Isnin.

Tetapi Abdul Halim pasti bahawa lembaga itu tidak menyunting keluar babak-babak yang mengandungi Yesus, yang merupakan bahagian penting dalam jalan cerita kisah itu.

"Itu adalah pasti, saya tidak mengingati mengenai Yesus dalam filem itu," katanya.

Penonton-penonton tempatan telah membawa rungutan mereka ke Facebook mengenai penyuntingan Ben-Hur, berkenaan babak-babak Yesus yang merupakan bahagian penting dalam jalan cerita, yang didakwa telah keluarkan.

(Dipetik dan diterjemah daripada artikel The Malay Mail Online bertajuk, "Censorship Board: We Didn't Cut Jesus Scenes From Ben-Hur" yang ditulis oleh Ida Lim bertarikh 17 September 2016)