Jumaat, 11 November 2016

Kristian Sarawak Roneey Rebit Akhirnya Dapat MyKad Baru Tanpa "Islam"

KUALA LUMPUR, Nov 10 - Seorang Kristian Sarawak telah diberikan kad pengenalan yang baru yang memperakui identitinya sebagai bukan Islam dan tidak memaparkan kata "Islam", peguamnya mengeesahkan hari ini.
Ketika disoal mengenai berita terbaru mengenai kes Roneey Rebit, peguam Chua Kuan Ching berkata bahawa anak guamnya telah memohon untuk dokumen baru itu daripada Jabatan Pendaftaran Negara empat bulan lalu.

Chua berkata pihak peguam telah dimaklumkan bahawa dia telah mengambil kad pengenalan barunya daripada JPN Kuching pada hujung Oktober.

Dia juga mengesahkan bahawa kedua-dua kad pengenalan dan daftar kebangsaan JPN kini memaparkan status keagamaan Roneey sebagai seorang Kristian dan dan menggunakan nama kelahirannya. 

"Saya gembira dia akhirnya mendapat kad pengenalannya selepas bertahun-tahun berurusan mengenai hal ini dan menanti berbulan-bulan meskipun keputusan telah diberikan pada Mac tahun ini," dia memberitahu Malay Mail Online.

Chua sedang merujuk kepada keputusan bersejarah Mahkamah Tinggi Kuching pada 24 Mac, yang telah memperakui hak berperlembagaan Roneey sebagai seorang dewasa untuk memilih agamanya dan yang telah mengarahkan JPN memberikan kepadanya Mykad baru tanpa kata "Islam" dan dengan nama kelahirannya dipulihkan. 

Roneey, kini 41 tahun telah berkata bahawa dia telah ditukar agama kepada Islam semasa kanak-kanak oleh ibu bapanya yang asalnya Kristian menjadi Islam. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Yew Jen Kie telah dalam keputusannya menyatakan sijil penukaran agama emak Roneey menunjukkan bahawa Roneey telah ditukar agama pada usia 10 tahun, dengan menambah bahawa fakta-fakta menunjukkan bahawa penukaran Roneey kepada Islam bukanlah atas kemahuannya sendiri tetapi merupakan pilihan ibunya untuknya sebagai seorang kanak-kanak bawah umur. 

Hakim itu menyatakan bahawa Roneey telah dibesarkan dalam komuniti Kristian Bidayuh sejak lahir, tidak pernah mengamalkan agama Islam dan telah memeluk agama Kristian atas kemahuannya sendiri.

Dengan meluluskan ketiga-tiga arahan khusus yang dipohon dalam permohonan semakan kehakiman oleh Roneey pada 8 Disember 2014, hakim Mahkamah Tinggi itu telah mengisytiharkan bahawa lelaki Bidayuh itu adalah seorang Kristian.

Hakim itu juga mengarahkan JPN untuk meminda nama Muslimnya, Azmi Mohamad Azam Shah @ Roneey ke nama kelahirannya, dan juga mengarahkan jabatan itu untuk mengubah status keagamaan Roneey di Mykadnya dan daftar kebangsaan kepada Kristian. 

Arahan keempat yang dipohon oleh Roneey yang sebelumnya telah diluluskan pada 12 Jun, di mana Mahkamah Tinggi mengarahkan dua perbadanan Islam untuk memberikan kepadanya surat lepas dari Islam dan menghantarkannya kepada peguam-peguamnya. Arahan surat perlepasan itu tidak dibantah oleh kedua-dua perbadanan Islam itu.

Dalam arahan surat perlepasan Jun itu, Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan semakan kehakiman Roneey terhadap pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Majlis Agama Islam Sarawak dan kerajaan negeri Sarawak.

Chua hari ini mengesahkan bahawa Jais telah empat bulan yang lalu mengeluarkan surat perlepasan keluar Islam untuk Roneey.

Meskipun kemenangan Roneey di Mahkamah Tinggi pada Mac, JPN telah menfailkan rayuan pada 22 April, satu-satunya daripada empat responden yang melakukan demikian.     

Kes Roneey sekali lagi menjadi tajuk utama berita pada 2 Mei, apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata dia telah menerima jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa JPN akan memberhentikan rayuannya. 

Pada 3 Mei, JPN telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang berpihak kepada Roneey.

Kini, Chua berkata Roneey gembira dan lega bahawa dia akhirnya telah mendapat kad pengenalannya selepas pernantian bertahun-tahun dan berbulan-bulan. 

Chua berkata Roneey ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantunya samada secara langsung atau tidak langsung.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Malay Mail bertajuk, "Sarawakian Christian Rooney Rebit Finally Gets New IC Without "Islam" yang ditulis oleh Ida Lim bertarikh 10 November 2016)