Isnin, 13 Februari 2017

10 Perkara Yang Anda Harus Tahu Mengenai Lukisan Agung "The Last Supper"


The Last Supper oleh Leonardo da Vinci adalah salah satu lukisan yang paling dikagumi, dikaji, dan disalin semula di dunia. Tapi tak kira berapa kali anda pernah melihatnya, kami teka anda mungkin tidak tahu butir-butir ini mengenainya. 

1. IANYA LEBIH BESAR DARIPADA YANG ANDA SANGKA.

Lukisan ini telah disalin semula berkali-kali dalam pelbagai saiz, tetapi yang asal berukuran 15 kaki kali 29 kaki. 

2. THE LAST SUPPER MEMAPARKAN DETIK PALING DRAMATIK.

Semua orang tahu bahawa lukisan itu memaparkan hidangan terakhir Yesus dengan rasul-rasulnya sebelum dia ditangkap dan disalib. Tetapi lebih khususnya, da Vinci ingin memaparkan detik selepas saja Yesus mendedahkan bahawa salah seorang daripada sahabat-sahabatnya akan mengkhianatinya, lengkap dengan ekspresi terkejut dan marah daripada rasul-rasul itu. Dalam tafsiran da Vinci, detik itu terjadi sejurus sebelum lahirnya Perjamuan Kudus, dengan tangan Yesus menjangkau ke arah roti dan segelas wain yang akan menjadi simbol-simbol utama sakramen Kristian. 

 3. ANDA TIDAK AKAN MENEMUKANNYA DI SEBUAH MUZIUM. 

Walaupun The Last Supper ternyata adalah salah satu lukisan paling terkemuka di dunia, kediaman kekalnya adalah di sebuah biara di Milan, Itali. Dan untuk memindahkannya memang tidak mudah, tentu saja tidak. Da Vinci telah melukiskan karya bertema agama ini terus (dan tepat tempatnya) di dinding dewan makan Convent of Santa Maria delle Grazie pada tahun 1495.


"The Last Supper" di Convent of Santa Maria del Grazie di Milan, Itali

4. WALAUPUN IANYA TELAH DILUKIS DI DINDING, IANYA BUKAN FRESCO.

Fresco dilukis di atas plaster yang basah. tetapi da Vinci telah menolak teknik tradisi ini untuk beberapa sebab. Yang pertamanya dia ingin mencapai kilauan yang lebih cerah daripada yang dapat dilakukan dengan kaedah fresco. Tetapi masalah yang lebih besar dengan fresco - pada pandangan da Vinci - ialah cara itu menyebabkan pelukis itu perlu cepat menyiapkan lukisannya sebelum plaster itu kering.

5. DA VINCI MENGGUNAKAN TEKNIK BARU UNTUK LUKISANNYA YANG AKAN MENJADI KARYA AGUNG DI MASA HADAPAN. 

Oleh kerana dia ingin secukup masa yang diperlukannya untuk menyempurnakan lukisannya dengan terperinci, da Vinci telah mencipta tekniknya sendiri, menggunakan cat tempera ke atas batu. Dia melapisi dinding dengan sejenis bahan yang diharapnya dapat menerima tempera itu dan dapat melindungi lukisan itu daripada kelembapan.

6. SANGAT SEDIKIT DARIPADA PEWARNAAN ASAL DA VINCI YANG MASIH KEKAL.

Walaupun lukisan itu sendiri sangat disayangi, eksperimen da Vinci menggunakan tempera ke atas batu telah gagal. Pada awal abad ke-16, lukisan itu mulai pudar dan merosot, dan dalam 50 tahun, The Last Supper telah jauh luntur dari kegemilangan asalnya. Usah-usaha awal untuk membaik pulih cuma memburukkan lagi keadaan.

Gegaran daripada pengeboman Tentera Bersekutu semasa Perang Dunia Kedua menambahkan lagi kerosakan lukisan itu. Akhirnya pada 1980, satu usaha membaik pulih selama 19 tahun telah dimulakan. The Last Supper akhirnya telah dibaik pulih, tetapi telah kehilangan kebanyakan cat warna asalnya dalam proses itu.


Sebahagian dari lukisan "The Last Supper" (Dari kiri: Yudas Iskariot, Simon Petrus, Yohanes)

7. PENUKUL DAN PAKU TELAH MEMBANTU DA VINCI MENCAPAI PERSPEKTIF YANG BERPUSAT PADA SATU TITIK.

Satu daripada sebab The Last Supper begitu menarik perhatian adalah perspektif dari mana ianya dilukiskan, yang kelihatannya mengundang penonton untuk masuk menyertai babak dramatiknya. Untuk mencapai ilusi itu, da Vinci telah memakukan sebatang paku di dinding, kemudian mengikat benang padanya untuk membuat tanda yang memberi panduan kepadanya untuk membentuk sudut-sudut dalam lukisan itu.


8. PENGUBAHSUAIAN TELAH MELENYAPKAN SEBAHAGIAN DARIPADA LUKISAN THE LAST SUPPER.

Pada 1652, satu gerbang pintu telah ditambah ke dinding itu. Pembinaannya bererti satu bahagian bawah di tengah lukisan itu - termasuk di mana letaknya kaki Yesus - telah dilenyapkan.

9. YUDAS ISKARIOT DALAM LUKISAN ITU KEMUNGKINAN DIMODELKAN OLEH SEORANG PENJENAYAH YANG SEBENAR. 

Telah dikatakan bahawa wajah setiap rasul-rasul itu adalah berdasarkan oleh model yang hidup. Ketika tiba giliran untuk memilih wajah Yudas si pengkhianat itu (lima dari kiri, memegang sebuah beg wang perak), da Vinci telah mencari di penjara-penjara Milan untuk memilih si jahat yang tepat.

10. INGIN MELIHAT THE LAST SUPPER YANG SEBENAR? BAIK ANDA MEMBUAT TEMPAHAN (JAUH) LEBIH AWAL.

Walaupun The Last Supper adalah salah satu tapak yang harus dikunjungi di Itali, konven di mana terletaknya lukisan itu tidak dibina untuk menampung bilangan pengunjung yang ramai. Hanya 20-25 orang dibenarkan masuk dalam setiap tempoh kunjungan 15 minit. Adalah disyorkan para pengunjung menempah tiket untuk melihat The Last Supper sekurang-kurangnya dua bulan sebelumnya. Dan berpakaianlah dengan sopan, atau anda mungkin tidak dbenar masuk ke konven itu.


"The Last Supper" terletak di Convent of Santa Maria delle Grazie, Milan, Itali

(Dipetik dan diterjemah oleh SDP daripada artikel Mental Floss bertajuk, "15 Things You Should Know About 'The Last Supper'" yang ditulis oleh Kristy Puchko bertarikh 11 Jun 2015)