Rabu, 8 Mac 2017

Biar Polis Buat Kerja, Kata Isteri Pastor Koh


Susanna Liew berkata beliau rasa lebih terjamin selepas pasukan petugas khas memberi taklimat kepadanya dan anak lelakinya berhubung siasatan penculikan suaminya.

PETALING JAYA: Isteri pada Pastor Raymond Koh meminta masyarakat membenarkan siasatan polis diteruskan tanpa spekulasi atau dakwaan yang tidak dapat disahkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Susanna Liew Sow Yoke turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan sokongan padanya dan keluarga sejak penculikan Koh, lebih 3 minggu lalu.

Beliau berkata mereka terharu dengan simpati dan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap nasib mereka, tanpa mengira bangsa atau agama, ditambah lagi dengan acara vigil pada 5 Mac lalu membantu menaikkan semangat mereka dalam berdepan kejadian buruk ini.

Liew berkata, beliau dan anak lelakinya Jonathan bertemu polis di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya semalam.

Katanya, mereka diberikan taklimat oleh ACP Fadzil Ahmat dan pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat penculikan suaminya.

“Saya rasa lebih terjamin yang polis melakukan terbaik untuk mencari suami saya, walaupun belum ada petunjuk jelas lagi,” katanya, menambah polis meyakinkannya akan memberi keutamaan dalam kes itu dan menempatkan anggota polis mencukupi dalam siasatan penculikan berkenaan.

“Memandangkan siasatan masih berjalan, saya minta masyarakat tolong beri ruang kepada polis untuk buat kerja mereka, tanpa spekulasi atau dakwaan tidak sah.

“Sebaliknya, saya minta anda berdoa untuk kami, merayu bantuan dan petunjuk Tuhan untuk polis melakukan siasatan mereka, supaya kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin,” katanya.

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari. Mangsa memandu kereta Honda Accord berwarna perak dengan nombor plat ST 5515 D.

Beliau dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya ketika diculik dan menerusi rakaman CCTV, penculikan itu nampak terancang membabitkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan pada waktu siang.

Keluarga Koh menawarkan habuan RM100,000 untuk mendapatkan maklumat di mana beliau berada.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini meminta masyarakat berhenti membuat “spekulasi tidak berasas”.

Dalam satu kenyataan, Khalid berkata siasatan kes seumpama itu rumit dan ada potensi yang membahayakan nyawa Koh.

“Maka, respons butiran polis perlu berhati-hati. Polis juga perlu elak membuat kenyataan tidak perlu atau respons yang boleh menyulitkan lagi siasatan.

“Saya menyeru orang ramai memberi laluan kepada polis meneruskan sisatan dan jangan meletakkan nyawa beliau dalam bahaya.

“Lebih baik anda semua diam,” Khalid memberitahu wartawan di Bayan Lepas, hari ini.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Biar Polis Buat Kerja, Kata Isteri Pastor Koh" bertarikh 7 Mac 2017)