Jumaat, 10 Mac 2017

Rayuan Majlis Gereja-Gereja Sedunia Agar Penyiasatan Dipertingkatkan Dalam Kes Penculikan Pastor


PETALING JAYA: Majlis Gereja-Gereja Sedunia (WCC) telah merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertingkatkan lagi siasatan berkenaan penculikan Pastor Raymond Koh.

"Dengan itu saya dengan hormatnya memohon agar tuan mengarahkan peningkatan penyiasatan berkenaan penculikan Pastor Koh untuk mengenal pasti lokasinya, dan memastikan perlepasan dan pengembaliannya dengan segera kepada keluarga," begitu kata setiausaha agung WCC, Rev Dr Olav Fykse Tveit dalam satu kenyataan pada hari Khanis. 

Tveit berkata dia sangat bimbang mengenai keselamatan dan kebajikan Koh yang telah diculik dari keretanya di Jalan SS4B/10 Petaling Jaya pada 13 Februari.

Dalam surat terbukanya kepada Najib, dia menekankan hakikat bahawa kebebasan beragama adalah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan majoriti daripada rakyat hidup dalam aman dan damai di negara pelbagai budaya dan pelbagai agama ini. 

Bagaimanapun, dia mengatakan bahawa "insiden yang membimbangkan" ini telah menyebabkan "kebimbangan besar mengenai nyawa dan kesejahteraan" Koh, dan telah menimbulkan "perasaan takut dan was-was di kalangan mereka yang beragama minoriti." 

WCC adalah persekutuan global dengan 348 keanggotaan gereja di lebih daripada 110 negara dan wilayah di sekeliling dunia. 

Ianya mewakili 560 juta orang yang beragama Kristian. 

Pada hari Khamis, seorang lelaki berusia 32 tahun telah ditangkap di Ampang berkenaan penculikan Koh.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel The Star Online bertajuk, "World Council Of Churches Appeals For Intensified Investigations Over Pastor's Abduction" bertarikh 10 Mac 2017)