Selasa, 16 Mei 2017

Buku Yeoh Lebih Bersifat Peribadi Berbanding Politik


AUTOBIOGRAFI Speaker Selangor Hannah Yeoh yang dilancarkan pada 2014 lebih memberi tumpuan menjelaskan kebimbangan beliau sebagai seorang wanita muda dan keresahannya mencari pengertian sebenar dalam kerjaya dan bukannya percubaan “mengkristiankan” Malaysia.

Wakil rakyat Subang-DAP selama dua penggal itu juga menyatakan dalam autobiografinya, “Becoming Hannah: A Personel Journey”, tidak semua orang Kristian menyokong perjalanannya dalam bidang politik sebagai penganut Kristian.

Autobiografinya mendapat perhatian apabila pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia Dr Kamarul Yusoff menjadikan Yeoh contoh dan menuduh DAP hipokrit dengan mengatakan parti itu hanya mengambil berat untuk memisahkan agama daripada politik jika ia melibatkan Islam, dalam posting Facebook milik beliau pada 10 Mei.

"... bagi DAP, pemisahan politik daripada agama hanya perlu dilakukan jika ia mengenai perkara berkaitan Islam. Tetapi jika ia melibatkan agama lain seperti Kristian, maka mereka (DAP) okay," tulis Kamarul.

Beliau juga menyatakan Yeoh menggesa penganut Kristian lain menyertai politik bagi memperbaiki Malaysia berdasarkan model Kristian. Status beliau itu juga turut disiarkan Harakahdaily dan Utusan Malaysia.

"Penulis menggunakan ekspresi kepercayaan saya sebagai Kristian dan tulisan peribadi saya sebagai faktor untuk menyerang DAP.

"Sejak itu, pelbagai laman web dan media menyebarluaskan tuduhan yang sama dan beberapa daripadanya menuduh DAP mempunyai agenda Kristian berdasarkan buku saya," kata Yeoh, selepas membuat laporan polis terhadap Kamarul.

Buku "Becoming Hannah" telah
diterbitkan pada 2014
Dalam buku itu, Yeoh menggambarkan dirinya sebagai polos politik (apolotical) dan "tidak tahu” tentang politik.

Beliau mendapati dirinya terperangkap dalam beberapa siri peristiwa yang membawa beliau dipilih sebagai calon DAP bagi Pilihan Raya Umum ke-12, pada 8 Mac 2008.

Keyakinannya terhadap agama disentuh semasa menjelaskan bagaimana dan mengapa beliau memeluk agama Kristian sebagai pelajar kolej, dan bagaimana ajaran mencintai dan berkhidmat untuk negara menjadi pendorong untuk bertanding dalam pilihan raya, walaupun terdapat kebimbangan dan keraguan dalam dirinya.

Beliau menganggap individu sepertinya, menyertai politik sebagai seruan Tuhan, atau beliau tidak akan mempunyai kekuatan mental dan emosi untuk terus bertahan.

Yeoh berbicara mengenai pembiayaan kempen pilihan raya 2008 beliau, menyatakan hanya membelanjakan RM34,000, jauh di bawah limit undang-undang sebanyak RM100,000 bagi calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri.

Kempen 2008 beliau berjaya mengumpul RM124,000, sebahagian besar daripadanya hasil derma orang ramai, dengan mengedarkan tabung semasa sesi ceramah sebagaimana yang sering dilakukan DAP.

Sesetengah dana juga didermakan individu tidak pernah ditemuinya yang digambarkan dalam buku sebagai "ahli perniagaan Kristian".

Beliau melahirkan ketakjuban jumlah dana yang dikumpul bagi calon muda dan tidak dikenali sepertinya.

Dalam buku itu, Yeoh menyebut tiada dana daripada  pertubuhan agama semata-mata, dan juga merekodkan baki wang selepas kempen itu digunakan untuk membiayai kos operasi pusat perkhidmatan beliau selepas pilihan raya.

Beliau juga memperincikan bagaimana rakannya yang lain – bukan ahli parti – menjadi tulang belakang kepada kempen beliau dari segi penganjuran logistik dan perancangan jadual kempennya.

Semua dilakukan secara sukarela dan dalam situasi segera bagi menggambarkan pasukan muda dan tidak berpengalaman yang dimilikinya untuk menjalankan kempen pilihan raya.



Buku dengan 111 muka surat itu hanya meliputi kempen pertamanya dan secara sepintas lalu mengenai kehidupan barunya sebagai wakil rakyat. Ia diterbitkan Pusat Maklumat Strategik dan Pembangunan Penyelidikan dan kini dalam proses cetakan ketujuh.

Walaupun Yeoh dalam bukunya mengakui pernah berbicara mengenai kepercayaan dan perjalanan peribadinya, ia nampaknya ditujukan dalam konteks tertutup kumpulan Kristian atau di perjumpaan gereja sahaja.

Beliau menggesa lebih ramai golongan muda menyertai politik, lebih kepada perspektif mengembalikan integriti, keadilan dan kesaksamaan bagi tadbir urus di Malaysia, dan bukannya untuk menjadikan negara ini Kristian.

Bagaimanapun, buku Yeoh hanya membicarakan mengenai kepercayaan dalam konteks peribadi dan bukan parti, dan kekerapan menyebut perkataan Tuhan dan kepercayaan direkodkan sebagai cara beliau untuk terus kekal waras dan memberi tumpuan dalam kegawatan politik.

"DAP mempunyai agenda rakyat Malaysia dan bukan seorang Kristian. Sebagai individu yang mengamalkan Kristian, saya percaya kepada kedaulatan undang-undang, keadilan, ketelusan, akauntabiliti, keadilan dan tadbir urus yang baik.

"Semua ini boleh dilihat dalam pembaharuan perundangan yang saya lakukan sebagai wakil rakyat dan speaker Dewan Undangan Negeri. Saya menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Inilah nilai hidup yang saya pegang hasil kepercayaan saya kepada Tuhan," kata Yeoh. – 16 Mei, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight, "Buku Yeoh Lebih Bersifat Peribadi Berbanding Politik" bertarikh 16 Mei 2017)