Selasa, 16 Mei 2017

"Sepanjang 4 Tahun, YB Hannah Yeoh Tidak Pernah Sekalipun Sebar Injil Dalam 300 Projek Bersama Komuniti" - Wong Chen

Wong Chen, Ahli Parlimen Kelana Jaya (baju cerah, tengah) dengan pemimpin-pemimpin komuniti
Subang Jaya bersama YB Hannah Yeoh yang membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya 

Oleh Wong Chen (Ahli Parlimen PKR untuk Kelana Jaya):

Pada 4 petang hari ini, saya menyertai pemimpin-pemimpin komuniti Subang Jaya untuk memberi sokongan kepada YB Hannah Yeoh sambil dia membuat laporan polis berkenaan dakwaan bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya sebagai ahli politik untuk melaksanakan strategi "Kristianisasi". Dakwaan-dakwaan yang jahat dan tidak bertanggungjawab itu telah dipetik dan disebarkan oleh kedua-dua media dan laman internet UMNO dan PAS. 

Saya telah mengenali Hannah untuk lebih dari 4 tahun. Kami adalah rakan sekerja di Kelana Jaya/Subang Jaya. Saya katakan ini dengan penuh kesungguhan: tidak ada ADUN yang lebih baik di Selangor berbanding Hannah. Dalam empat tahun kami bekerjasama, kami telah menjalankan bersama kira-kira 300 projek komuniti. Saya beragama Buddha dan tidak sekalipun dia menyebarkan Kristianiti dalam mana-mana acara komuniti kami. Dia selalu amat menghormati di semua acara di masjid, tokong dan rumah-rumah ibadah. 

Semua orang tahu dia adalah seorang Kristian yang komited, bukunya "Becoming Hannah" adalah catitan peribadi mengenai perjalanan dan pengalamannya dengan Tuhan. Tetapi sebab mengapa penduduk Subang Jaya menyayanginya bukanlah semata-mata kerana dia adalah seorang Kristian yang komited. Penduduk Subang Jaya menyayanginya adalah kerana dia mengamalkan nilai-nilai Kristian yang juga sejagat dalam semua agama: memiliki belas kasihan, kejujuran, bekerja kuat, adil, bersikap menghormati dan cekap. 


Bagi pihak Kelana Jaya, saya mahu memberi dorongan kepada Hannah bahawa kami berdiri bersama dengannya untuk menghadapi serangan yang jahat ini, dan bahawa kami akan terus berdoa agar cahaya kebenaran akan menyucikan hati yang gelap penyerang-penyerangnya. 

(Diterjemahkan daripada catitan Facebook Wong Chen bertarikh 16 Mei 2017)