Ahad, 25 Jun 2017

Selepas Kejadian Tembak Menembak, Polis Jumpa Petunjuk Kes Penculikan Paderi Koh


Satu operasi polis ke atas kumpulan penyeludupan berjaya menemui petunjuk yang tidak dijangkakan berhubung penculikan paderi Raymond Koh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Polis Khalid Abu Bakar berkata operasi itu yang menyaksikan kejadian tembak-menembak di Kampung Weng Dalam, Kedah pada 17 Jun, di mana suspek utama ditembak mati.

Polis juga berjaya menahan tiga anggota kumpulan itu yang disyaki, dan juga janda suspek utama.

Antara barangan yang dijumpai di rumah suspek itu, termasuk gambar yang dipercayai sebagai rumah paderi berkenaan, gambar yang dipercayai sebagai dua kenderaannya, dan plat lesen pendaftaraan kenderaan yang tertera nombor ST 5515 D.

“Jadi kita percayai bahawa kumpulan ada kaitan dengan kejadian penculikan Pastor Koh.

“Seterusnya ketiga-tiga orang ini yang kita tangkap tadi dan isteri suspek yang kita tembak mati itu telah dibawa balik ke Kuala Lumpur, dan siasatan sedang dijalankan sekarang,” katanya

Beliau berkata demikian kepada wartawan semasa sidang akhbar selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.

Koh diculik pada 13 Februari lalu ketika dilaporkan sedang memandu sebuah Honda Accord perak dengan nombor plat pendaftaran ST 5515 D di Kelana Jaya.

Rakaman CCTV menunjukkan kereta paderi itu dipaksa berhenti sebelum tiga lelaki dari sebuah kenderaan SUV hitam memaksanya mengikut mereka.

Ditanya sama ada paderi itu masih hidup, ini jawapan Khalid.

“Kita tak tahulah. Tunggulah. Kita akan jalankan soal-siasat terhadap tangkapan-tangkapan ini, dan nanti kita akan berikan update kemudian.”

(Diambil daripada artikel Malaysiakini bertajuk, "Polis Jumpa Petunjuk Kes Penculikan Paderi Koh" yang ditulis oleh Koh Jun Lin bertarikh 25 Jun 2017)