Sabtu, 24 Jun 2017

Tiada Peruntukan Undang-Undang Orang Islam Keluar Agama, Kata Peguam Syarie

Azril Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Centhra (kanan)

PEGUAM syarie hari ini menolak dakwaan terdapat kira-kira 400 kes orang Islam yang ingin keluar agama di mahkamah syariah, menegaskan tiada peruntukan undang-undang bagi seorang Islam untuk berbuat demikian.

Mereka berkata, malah hakim juga tidak dibenarkan menukar agama ke agama lain selain Islam.

“Kes tukar agama atau nak keluar Islam adalah kes jenayah syariah,” kata peguam syarie Ab Kadir Ismail.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan ketua pegawai eksekutif Pusat Penyelidikan dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia (Centhra) Azril Mohd Azmin yang dikecam kerana gesaan mengharamkan evangelikalisme Kristian.

Azril berkata, terdapat kira-kira 400 kes penukaran agama di mahkamah syariah dan jika ia beterusan, akan memberi kesan kepada keselamatan negara.

Ab Kadir berkata, jika berlaku kes sedemikian, peguam syarie akan menasihati individu tersebut bertaubat dan tindakan dipenjarakan selama setahun sekiranya enggan berbuat demikian.

Namun, hukuman sama ada buang negeri, penjara seumur hidup atau pancung menurut hudud dikenakan, di mana ia tidak dipraktikkan di negara ini.

“Padahal dalam Perlembagaan Malaysia pun ada cakap semua orang di Malaysia bebas beragama, kecuali orang Melayu – mestilah Islam.

“Jadi apabila orang Melayu nak mohon untuk keluar Islam, akan ditolak,” kata Ab Kadir.

Ab Kadir turut mempertikaikan kenyataan Azril tersebut, kerana berpendapat kenyataan Azril itu hanyalah andaiannya.

“Beliau siapa untuk berkata demikian? Ulama besar atau ustaz? Jadi, mengapa kita melayannya” soalnya.

Sementara itu, seorang lagi peguam syarie Boestamam Ahmad turut berpendapat, di dalam Perlembagaan jelas menyatakan agama Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan Malaysia dan setiap orang bebas mengamalkan agama masing-masing.

“Yang tidak dibenarkan adalah penyebaran atau dakwah agama lain kepada orang Islam di Malaysia.

Tambahnya, apabila seseorang Melayu memohon diisytiharkan keluar daripada Islam, ia akan ditolak kerana Perlembagaan mengatakan orang Melayu mesti beragama Islam.

“Sebab itu beberapa negeri ada membuat undang-undang berkaitan sekatan pengembangan agama lain kepada orang Islam.

“Sekiranya terdapat mana-mana kumpulan membuat aktiviti mempromosikan agama selain agama Islam kepada orang Islam, ia satu kesalahan dan tertakluk kepada enakmen tersebut,” katanya.

Boestamam berkata, terdapat beberapa negeri di Malaysia yang masih belum ada undang-undang sedemikian dan berpendapat kemungkinan perkara itu yang cuba disampaikan oleh Azril.

Azril dikecam selepas tulisan artikelnya yang diterbitkan dalam Utusan Online minggu lalu yang menyeru pengharaman evangelikalisme Kristian.

Rabu lalu, Azril berkata, terdapat kira-kira 400 kes penukaran agama di mahkamah syariah dan jika ia beterusan, akan memberi kesan kepada keselamatan negara.

Dalam artikel itu, beliau juga menyokong langkah pengharaman "Jerusalem Jubilee" yang sepatutnya diadakan di Melaka awal bulan ini. Azril berkata gerakan evangelis Kristian mengancam keharmonian agama di Malaysia. – 23 Jun, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Tiada Peruntukan Undang-Undang Orang Islam Keluar Agama, Kata Peguam Syarie" yang ditulis oleh Yasmin Ramlan bertarikh 23 Jun 2017)