Rabu, 12 Julai 2017

Lagu Pujian Kepada Yesus Oleh Kumpulan Pelajar Jadi Tular Dengan 15 Juta Tontonan Dalam Seminggu


Satu persembahan yang menakjubkan lagu pujian kepada Yesus telah menjadi tular di internet, menyentuh hati dan jiwa berjuta-juta orang di sekeliling dunia.

Sebuah kumpulan penyanyi yang dikenali sebagai The Voices of Lee telah menjadikan lagu Hillsong "What A Beautiful Name" lebih popular lagi, dengan video cover lagu Kristian yang menyemarakkan itu ditonton lebih 15 juta kali dalam hanya seminggu sejak ianya dimuatkan dalam laman Facebook kumpulan itu pada 2 Julai. 

Tambahan lagi, lebih daripada 98,000 orang telah "liked" atau "loved" video itu; dan lebih daripada 149,000 orang telah berkongsinya termasuk pelakon Kristian, Kirk Cameron.

"Saya benar-benar suka lagu itu sekarang. Ianya sangat berkuasa. Dan The Voices of Lee baru saja membuatnya lebih hebat lagi!" dia memuatkan di laman Facebooknya. "Anda perlu menonton (dan mendengarnya)... semuanya dari sebuah kumpulan pelajar kolej."

Cetakan skrin dari catitan Facebook Kirk Cameron

Di media sosial, sebuah video yang diposkan akan dianggap tular jika ianya menarik lebih 5 juta tontonan dalam masa tiga hingga tujuh hari, menurut Rob Alderman yang mengetuai Alderman Group, sebuah agensi perunding media yang menguruskan penampilan internet Church of God International Offices. Video "What A Beautiful Name" oleh The Voices of Lee telah mencapai lebih tiga kali ganda angka itu.

Kejayaan nyanyian "What A Beautiful Name" oleh The Voices of Lee adalah susulan yang hebat kepada persembahan mereka dalam "No Longer Slaves," sebuah video muzik yang juga telah dimuatkan ke laman Facebook kumpulan itu pada Mei 2017. Video itu setakat ini telah menarik 8.8 juta tontonan. 

Video "What A Beautiful Name" telah dipentaskan di dewan ibadah Lee University di Cleveland, Tennessee dan dirakamkan oleh pelajar-pelajar jurusan Komunikasi Lee, menurut Faith News Network.

The Voices of Lee adalah paduan suara capella yang dipimpin oleh Danny Murray. Kumpulan itu telah mengadakan persembahan di pelbagai lokasi di dunia. Mereka telah disertai oleh penyanyi lagu yang ternama dan membuat persembahan di program televisyen yang mendapat sambutan ramai, termasuklah "Good Morning, America."



Kumpulan itu berkata mereka "tergamam sekali lagi dengan jumlah kasih dan sokongan" yang telah mereka terima.

"Jika hanya seorang sahaja yang merasa diberkati oleh video ini, kami akan lebih dari gembira, jadi 4 juta tontonan adalah satu hadiah daripada Tuhan. Terima kasih banyak dan teruslah tonton dan berkongsi! Segala pujian dan kemuliaan kepada Tuhan!" begitu catitan mereka di laman Facebook mereka pada 3 Julai, cuma sehari selepas mereka memuatkan video "What A Beautiful Name" itu.

(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Christian Today bertajuk, "Christian Students Go Viral After Song Praising Jesus Gets15 Million Views In A Week" yang ditulis oleh Jay Gotera bertarikh 11 Julai 217)