Sabtu, 12 Ogos 2017

Diosis Kuching Adakan Upacara Pentahbisan Dan Pertabalan Bishop Diosis Ke-14 Esok

Bakal Bishop, Rev Danald Jute dengan isteri, Julita Jack Sunggul

KUCHING: Gereja Anglikan di Sarawak dan Brunei yang dikenali sebagai Diosis Kuching akan mengadakan Upacara Pentahbisan dan Pertabalan untuk Bishop Diosis Ke-14 esok

Bakal Bishop, Rev Danald Jute dilantik oleh Dewan Uskup Wilayah Gereja Anglikan di Asia Tenggara untuk menggantikan Right Rev Datuk Bolly Lapok yang sudah bersara. 

Upacara akan diadakah di Katedral St Thomas, Jalan McDougall di sini, bermula dengan perarakan pada jam 4 petang dari Dewan Parokhi.

Ketua Pentahbis (Chief Consecrator) ialah Archbishop Wilayah Gereja Anglikan di Asia Tenggara, Most Rev Datuk Ng Moon HIng.

Kira-kira 2,000 penganut Anglikan, termasuk tetamu dari Hong Kong, United Kingdom, Filipina, Myanmar Amerika Syarikat, Singapura, Semenanjung Malaysia, Sabah, Labuan dan Brunei dijangka hadir. 

Ketua-ketua gereja di bawah Persatuan Gereja-Gereja Sarawak, termasuk Gereja Roman Katolik, Gereja Methodist, Sidang Injil Borneo, Gereja Seventh Day Adventist dan Salvation Army, juga dijangka menyaksikan upacara itu.

Kristian Anglikan di Sarawak dan Brunei dianggarkan seramai 138,000 orang.

Danald, yang berusia 51 tahun pada November, berkata matlamat pelayanan beliau adalah 'untuk berkhidmat kepada umat Tuhan dan membimbing mereka untuk lebih mengenali Tuhan Yesus Kristus dan menjalin hubungan yang lebih mendalam dengan-Nya dengan memberi Firman Tuhan kepada mereka, dan mengiring hati mereka, untuk menyediakan orang suci dengan lebih baik agar dapat melakukan kerja dan tujuan Tuhan, dan berkongsi dengan orang lain bagaimana untuk mencari kehidupan dan kebebasan sebenar dalam Yesus Kristus.'

Dalam kenyataan peribadinya, Danald menyebut antara perkara yang beliau begitu titik beratkan adalah 'pembaharuan gereja, kerelevanan ibadat, latihan pemuridan, pelayanan muda-mudi serta pemerkasaan kepimpinan awam dan seluruh Tubuh Kristus, Gereja.'

Beliau sebelum ini menjadi Vikar Gereja Good Shepherd, Lutong di Miri, dan berkhidmat sebagai ahli Jawatankuasa Tetap Diosis, Penyelaras Ministri Tahbis Tempatan (Sektor Utara), ahli Jawatankuasa Liturgi Wilayah dan anggota utama Kumpulan Harmoni dengan Masjid An Naim, Lutong di Miri.

Dari 2007 ke 2009, beliau menjadi Rektor Gereja St Oswald, King's Park di Glasgow, Scotland; manakala dari 2003 hingga 2007 beliau berkhidmat sebagai Rektor Sekutu di St. Andrew's Milngavie, All Saints Bearsden dan Drumchapel Congregation di Diosis Glasgow. 

Danald turut menjadi Paderi Penolong di Katedral St. Thomas di sini dari 1998 hingga 2002, pensyarah di Dewan Kolej Teologi Epiphany dari 1992 hingga 1998, dan Penolong Pastoral di Katedral St Thomas dari 1988 hingga 1989. 

Beliau mempunyai ijazah Sarjana Muda Divinity (Kehormat) dari Universiti Edinburgh, Scotland dan Diploma dalam Misiologi dari Kolej Teologi Australia menerusi Dewan Kolej Teologi Epiphany, Kuching. 

Danald mendirikan rumahtangga dengan Julita Jack Sunggul, dan mereka dikurniakan empat anak - Izra, Iona, Ian dan Ingrid.  

(Diambil daripada artikel Utusan Borneo bertajuk, "Diosis Kuching Adakan Upacara Pentakdisan Dan Pertabalan Bishop Diosis Ke-14 Esok" bertarikh 12 Ogos 2017)