Khamis, 17 Ogos 2017

Heidy Quah Menerima Anugerah Pemimpin Muda Ratu Elizabeth - Atas Inisiatif Pendidikan Bagi Kanak-Kanak Pelarian


KUALA LUMPUR: Heidy Quah baru berusia 18 tahun ketika dia menawarkan bantuan secara sukarela mengajar Bahasa Inggeris di Pusat Pendidikan Kanak-Kanak Chin, sebuah sekolah untuk kanak-kanak pelarian, sementara menunggu surat tawaran penerimaan ke kolej.

Bagaimanapun, ketika dia dimaklumkan bahawa sekolah itu akan ditutup kerana mereka tidak akan lagi mendapat dana daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Orang-Orang Pelarian (UNHCR), dia terasa terdorong untuk membantu mereka.

Bersama dengan kawan paling akrabnya. Andrea Prisha, Quah mula menjual biskut buatan sendiri untuk mengumpul dana. Dua sahabat itu menggunakan media sosial untuk membangkitkan kesedaran untuk tujuan sosial mereka dan merayu dana bagi tujuan itu.

Demi usaha kuat mereka, mereka telah berjaya mengumpulkan wang yang mencukupi untuk menjalankan operasi sekolah itu selama enam bulan lagi.

Kemudiannya, pada 3 September 2012, mereka berdua telah menubuhkan Refuge for The Refugees (RFTR) untuk meneruskan lagi usaha mereka.

Quah, kini 23 tahun, berkata oleh kerana kanak-kanak seperti itu tidak dapat menghadiri sekolah yang rasmi kerana status pelarian mereka, penubuhan RFTR adalah untuk membantu menciptakan kesedaran, terutamanya mengenai kanak-kanak pelarian dan pendidikan mereka.

"Pendidikan adalah amat penting untuk setiap kanak-kanak. Kami ada kanak-kanak yang tidak boleh membaca dan menulis, tetapi kini mereka boleh menulis esei.

"Ada kanak-kanak yang langsung tidak tahu sepatah pun perkataan Inggeris, tetapi kini dapat mengajar di sekolah-sekolah pelarian yang lain," katanya.

Kini, RFTR menyokong 35 sekolah, 10 daripadanya yang telah ditubuhkan di Lembah Kelang dan Pulau Pinang manakala 25 sekolah yang lain terletak di Myanmar, dan melayani lebih daripada 2,000 kanak-kanak pelarian.

Quah berkata kanak-kanak itu telah banyak mengajarnya mengenai kerendahan hati, rasa hormat dan bersyukur untuk perkara-perkara yang kecil.

Usaha-usahanya tidak dilupakan. Pada 29 Jun, Quah menerima Anugerah Pemimpin Muda Ratu daripada Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham.

Dia merupakan penerima tunggal negara untuk anugerah yang berprestij ini, yang memberi penghargaan dan meraikan orang-orang muda yang mengambil inisiatif dan kepimpinan dalam komuniti mereka, menggunakan kemahiran mereka untuk mentransformasikan hidup manusia." Anugerah itu memberi penghargaan kepada pemimpin-pemimpin muda berusia 18-29 tahun di negara-negara Komanwel.

(Diterjemah daripada artikel New Straits Times yang ditulis oleh Nor Ain Mohamed Radhi bertarikh 15 Ogos 2017)

---------------------------------

Dalam temuramah dengan Rhema Radio pada 31 Mac 2017, Heidy berkongsi mengenai dirinya yang pemalu sewaktu di sekolah, dan tidak pernah membayangkan pada suatu hari nanti, pada usia 18 tahun, akan mengasaskan pertubuhan bukan bertujuan keuntungan yang menyediakan pendidikan asas percuma kepada kanak-kanak pelarian. Dengar temuramah itu di sini.