Rabu, 6 September 2017

KPN Fuzi Ikrar Teliti Kes Penculikan Raymond Koh, Isu Lain


CYBERJAYA: Ketua polis negara baharu meminta orang ramai memberikan beliau “sedikit masa” untuk meneliti isu berbangkit, termasuk kehilangan pastor Raymond Koh.

“Kamu perlu berlaku adil. Hari ini hari kedua saya sebagai KPN, jadi saya akan tengok semua perkara,” kata Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun kepada pemberita hari ini.

Fuzi, 58, menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara semalam.

Ditanya sama ada beliau akan teliti kejadian kematian dalam tahanan, beliau berkata polis sudah menghubungi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk mengesahkan kes itu, dan kemudian polis akan bekerjasama dengan Suhakam dalam beberapa syor yang diberikan.

“Kami akan teliti saranan tu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian daripada syor itu tidak dapat dilaksanakan atas kekangan tertentu, seperti keperluan memasang peralatan CCTV.

“Itu antara isu yang perlu dibetulkan pada masa depan.”

Beliau menyedari tuntutan dan jangkaan orang ramai terhadap pasukan polis dan berikrar akan bersikap proaktif dalam isu yang ditimbulkan badan sivil dan orang ramai.

Ditanya sama ada beliau akan meneliti cadangan menaikkan gaji pegawai polis sebagai cara untuk melawan rasuah, bekas ketua Cawangan Khas itu meminta masa diberikan kepadanya.

“Beri saya masa, tidak lama lagi. Saya akan bentangkan keutamaan saya.”

Mengenai kes penculikan pastor Koh yang kelihatan amat terancang, Fuzi berkata siasatan ke atas kes itu sedang berjalan.

“Kita akan periksa jika ada perkembangan baharu. Kita akan betulkan isu itu,” katanya.

Koh diculik pada siang hari pada 13 Februari lalu semasa memandu di Kelana Jaya.

Rakaman video dari kamera CCTV di sebuah rumah berhampiran menunjukkan 3 kenderaan menghalang keretanya dan 8 individu bertopeng memgambil Koh dan kenderaannya dari tempat kejadian.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "KPN Fuzi Ikrar Teliti Kes Penculikan Raymond Koh, Isu Lain" yang ditulis oleh Minderjeet Kaur bertarikh 5 September 2017)