Pada 31 Oktober 1517, Seorang rahib Jerman yang kurang dikenali
telah mengubah haluan sejarah dengan cara yang masih terus membentuk dunia
modern. Pada tahun ini, pada tarikh yang sama, 560 juta umat Protestan di dunia
akan merayakan ulangtahun ke-500 apa yang dikenali sebagai Reformasi. Berikut
adalah 9 perkara untuk diketahui mengenai Reformasi Protestan itu dan kenapa
ianya masih relevan setengah millennium kemudian.
1. Martin Luther, dilahirkan di Jerman pada 1483, adalah
tokoh di sebalik Reformasi itu. Sebagai rahib yang terpelajar, Luther menjadi
marah kerana korupsi dalam Gereja Katolik, khususnya mengenai penjualan “indulgensi”
– penghapusan dosa yang dikatakan mengizinkan pembelinya masuk ke syurga. Wang
itu akan digunakan untuk pengubahsuaian Basilica St. Peter di Rum, tapak
pentadbiran Paus Leo X. “Mengapakah,” Luther bertanya, “Paus, yang kemakmurannya
hari ini lebih besar daripada kemakmuran Crassus yang terkaya, tidak membina
Basilica St. Peter dengan wangnya sendiri daripada dengan wang orang-orang
beriman yang miskin?”
2. Pada 31 Oktober 1517, lagenda mengisahkan bahawa Luther
memakukan 95 Tesisnya – satu senarai ketidakpuasannya terhadap Gereja – ke pintu
gereja Wittenberg Castle. Dua tesis pertama telah membentuk dasar utama
Reformasi – bahawa Alkitab, bukan para paderi, adalah autoriti tunggal untuk hal-hal berkenaan iman – apa yang disebut Luther sebagai “sola scriptura” – dan
bahawa hanya iman – “sola fide” – dan bukannya perbuatan baik, menjaminkan
keselamatan.
3. Untuk menggunakan istilah modern, 95 Tesis itu menjadi
tular, oleh kerana apa yang pada ketika itu adalah ciptaan baru – mesin percetakan.
Setahun kemudian, Paus Leo X berkeputusan bahawa pengajaran Luther adalah “bersifat
skandal dan menyinggung kepada pendengaran orang-orang alim.” Dia memberi
Luther 120 hari untuk bertaubat dan menarik balik kenyataannya. Luther enggan.
4. Pada 3 Januari 1521, Paus Leo X telah mengucilkan Martin
Luther daripada Gereja Katolik. Maharaja Empayar Rum, Charles V,
mengisytiharkan bekas rahib itu seorang penjenayah yang penulisannya mesti dibakar.
Luther bersembunyi dan, untuk sepuluh tahun seterusnnya, bergiat menterjemahkan
Perjanjian Baru dari Latin, bahasa orang terpelajar, kepada Jerman, bahasa
orang biasa. Oleh kerana mesin percetakan, Alkitab Luther telah diterbitkan
secara meluas pada 1534.
5. Sepanjang 1520an, Reformasi telah berkembang sampai ke
luar Jerman ke negara-negara lain. Di kebanyakan tempat, orang-orang Protestan
dianggap pembidaah – terjadi perang saudara, penganiayaan, penyiksaan dan
hukuman mati secara kejam untuk ramai pemimpin Protestan dan orang-orang
beriman. Tetapi cara pemikiran Luther telahpun bertapak.
6. Sehingga pertengahan 1500an, tokoh-tokoh Reformasi John
Calvin dan John Knox telah mengembangkannya dengan lebih lanjut lagi. Salah
satu pemikran Calvin adalah “pre-destinasi” – bahawa semua perkara, termasuk
samada seseorang akan menerima keselamatan kekal, adalah ditentukan terdahulu oleh Allah. Calvinisme
telah menjadi dasar bagi gereja-gereja Presbyterian, Congregational, dan
Reformed, di antara yang lainnya. Hari ini, lebih kurang 37 peratus daripada 2.2
bilion Kristian di dunia adalah anggota-anggota sebuah denominasi Protestan.
7. Ada satu sisi yang lebih gelap pada Reformasi itu. Luther
sering menulis dan berbicara dengan bersungguh-sungguh menentang orang-orang
Yahudi. Sebilangan kata-katanya telah digunakan oleh pihak Nazi untuk
membenarkan penganiayaan terhadap orang-orang Yahudi. Pihak Nazi menganggap
Pemerintahan Third Reich sebagai pelaksanaan Reformasi Luther, tetapi orang-orang
Protestan Jerman yang lain menolak campur-aduk agama dan nasionalisme Nazi itu.
Ahli teologia Jerman, Dietrich Bonhoeffer berkata mengenai Nazi Jerman, “Ayat-ayat
Luther ada di merata-rata, tetapi diserongkan dari kebenaran menjadi
kebohongan diri.” Bonhoeffer telah dihukum mati oleh pihak Nazi sebagai seorang
yang bersubahat sebulan sebelum penghujung Perang Dunia Kedua.
8. Jika Luther kembali lagi hari ini, dia akan terkejut –
bukan semua orang Protestan bersetuju dengan pemikirannya yang asasi berkenaan “sola
scriptura” (hanya Firman) dan “sola fide” (hanya iman). Pada bulan Ogos, Pew
Research Center mendapati bahawa lebih kurang separuh daripada penganut-penganut
Protestan Amerika Syarikat berkata kedua-dua perbuatan baik dan iman adalah
diperlukan untuk masuk ke syurga. Bilangan yang sama berkata bahawa orang-orang
Kristian perlukan bimbingan pemimpin-pemimpin gereja di samping Alkitab.
Bilangannya lebih kurang sama di Eropah. Dan pada tahun ini, dalam satu upacara
di Wittenberg, tempat Luther, pemimpin-pemimpin Protestan dan Katolik telah
bergabung semula atas isu utama Luther berpisah dari Katolik – bahawa keselamatan
diperolehi hanya oleh iman, dan bukan oleh perbuatan baik.
9. Lima ratus tahun
selepas Luther menulis 95 Tesisnya, impaknya masih dirasakan lagi, termasuk di
luar bidang agama. Penekanan Luther akan Firman telah mengembangkan celik huruf
sejagat, dan penekanannya akan individu telah membuka jalan kepada zaman Enlightenment
(Pencerahan) dan idealisme demokratik.
Martin Marty, sarjana agama dan ahli teologia, berkata
mengenai Luther, “Saya sukar untuk memikirkan beberapa aspek dunia modern tanpa
Luther. Ambillah, secara umpamanya, injil pengampunan. Walaupun terdapat
orang-orang lain yang menperjuangkan doktrin ini juga, Lutherlah yang telah memperjuangkannya
dengan berapi-api. Penekanan itu, walaupun dengan tidak sebegitu berapi-api,
masih menjadi ciri setengah billion orang yang digelar Anglikan, Lutheran, Baptis,
Evangelikal, dan yang seumpamanya. Itulah bayangan terbesar Luther hari ini.
(Diterjemahkan oleh SDP daripada artikel Guideposts bertajuk, "9 Things You Should Know About The Reformation" yang ditulis oleh Kimberly Winston bertarikh 25 Oktober 2017)