BEKAS ketua polis negara Khalid Abu Bakar dijangka memberi
keterangan hari ini di siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh,
kata pengerusi suruhanjaya itu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam)
Mah Weng Kwai berkata siasatan awam itu, yang masih hari ketiga prosiding akan
mendengar keterangan Jonathan, anak lelaki Koh sebelum memanggil Khalid.
“Bekas ketua polis negara akan datang. Kami akan panggil
Jonathan dulu dan kemudian Khalid.
“Kalau ada masa, kami juga akan mendengar keterangan saksi
dari Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) yang sudah dipanggil,” katanya kepada
The Malaysian Insight.
Siasatan awam itu yang bermula pada 19 Oktober lalu,
diadakan untuk mencari jawapan atas kehilangan Koh, serta Pastor Joshua Hilmy
dan isterinya Ruth yang hilang pada November tahun lalu, dan aktivis Amri Che
Mat yang juga dilaporkan hilang sejak tahun lalu.
Tujuan utama siasatan adalah untuk menentukan sama ada ia
adalah kes "enforced dissapearance" , istilah yang menggambarkan
penculikan melibatkan pihak berkuasa.
Koh, 62, dilaporkan diculik sekumpulan lelaki pada 13
Februari lalu, yang digambarkan sebagai sama seperti bagaimana operasi polis
dijalankan.
Saksi Roeshan Gomez, yang memandu di belakang kereta Koh dan
menyaksikan penculikan itu berkata pegawai penyiasat polis Inspektor Ali Asra
memberitahunya demikian selepas dia menceritakan apa yang disaksikannya.
Selain Gomez, isteri Koh, Susanna Liew dan Pengarah Harapan
Komuniti G. Sri Ram turut memberi keterangan.
Harapan Komuniti ialah pusat bacaan dan pembelajaran di
Taman Sri Manja, yang ditubuhkan oleh Koh bagi membantu kanak-kanak tidak
bernasib baik.
Sri Ram memberitahu siasatan awam itu Koh tertekan selepas
serbuan Jais di Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), di mana dia
menganjurkan makan malam untuk Harapan Komuniti yang turut dihadiri tetamu
Muslim, pada 2011.
Sri Ram juga berkata Koh bersetuju bila dia berkata Koh
orang yang disasarkan selepas insiden DUMC di mana pastor itu menerima surat
dan dua peluru.
Sementara itu, Liew memberitahu panel yang Koh memberi
arahan kepada sukarelawan Harapan Komuniti supaya tidak berdakwah mengenai
agama kepada mereka yang dibantu.
Katanya, dia dan suaminya ditahan beberapa kali oleh jabatan
imigresen dan dirujuk ke Cawangan Khas ketika hendak ke luar negara – Koh
ditahan sembilan kali, dan Liew tujuh kali.
Siasatan awam itu dipengerusikan oleh Mah, Aishah
Bidin dan Dr Nik Salida Nik Saleh dan diadakan di ibu pejabat suruhanjaya itu
di Menara TH di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Setakat ini, suruhanjaya itu menemu bual 35 orang termasuk
ahli keluarga semua mangsa yang hilang, polis dan pihak berkepentingan, dan
mengeluarkan sepina kepada lebih 15 orang.
“Jika kami perlu ambil beberapa hari tambahan, kami akan
buat. Kami akan menyelesaikannya. Suhakam tidak terikat dengan masa. Kami tidak
boleh tergesa-gesa dalam perkara ini,” kata Mah. – 30 Oktober, 2017.
(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Bekas KPN Khalid beri keterangan di siasatan awam Pastor Koh" yang ditulis oleh Noel Achariam bertarikh 30 Oktober 2017)