Sabtu, 14 Oktober 2017

Catitan Kenangan Untuk Leah Cubit - Daripada Ray & Evelyn Cunningham


Oleh Ray Cunningham:

Kawan lama kami rakan BEM kami, Leah Cubit, Pendita Ubong telah kembali kepada Tuhan pada 9 pagi Khamis lepas 12 Oktober, pada usia 93 tahun. Ianya adalah suatu penghormatan untuk melayani bersama Leah Cubit dalam BEM di Sarawak. Kami melayani bersama di kalangan orang-orang Kayan dan suku-suku bangsa lain di kawasan Sungai Baram, Sarawak, mulai 1950an. 

Leah dikagumi atas kebolehannya yang sangat dapat membiasakan diri kepada keadaan primitif di kawasan pedalaman Borneo pada masa itu. Generasi ke-3 orang-orang Kayan yang sudah modern hari ini pun akan sukar membayangkan keadaan hidup di tanah mereka lebih 60 tahun yang lalu. 

Leah (Pendita Ubong) dan rakannya, Win Burrow (Pendita Bulan) telah membawa perkhidmatan perubatan yang pertama ke kawasan Kayan. Mereka telah membuka sekolah pertama untuk orang-orang Kayan, dan secara kebetulan telah membina landasan kecil kapalterbang di Long Atip.   

Pencapaian-pencapaian itu sudah cukup untuk memberi penghargaan kepada dua misionari wanita itu, tetapi pencapaian yang paling berharga adalah penterjemahan Alkitab yang menyampaikan Firman Allah kepada orang-orang Kayan untuk generasi itu dan seterusnya dalam bahasa ibunda mereka. 

Paling ketara adalah kesan Firman Allah itu ke atas penduduk-penduduk di Sarawak. Itu adalah tugas utama yang telah diberikan kepada Leah untuk dilaksanakan di kalangan orang-orang Kayan, dan ianya adalah melalui dedikasi dan ketabahan Leah, mereka ada Alkitab dalam bahasa mereka sendiri hari ini. 

Apabila Kerajaan Malaysia tidak mengizinkan Leah untuk terus tinggal di Sarawak, Leah terus bertahan dan bertekun dengan tugas itu walaupun dia terpaksa berpusat di Australia dengan lawatan sekali-sekala kembali ke negara ini. Adalah mengkagumkan bagaimana dia telah memberi inspirasi kepada pembantu-pembantu Kayannya untuk terus bertekun sehingga seluruh Alkitab itu diterbitkan. Kisah itu dijelaskan dengan lebih terperinci dalam buku Leah, "Light in the Sarawak Jungle."

Satu lagi sebab saya perlu bersyukur adalah ketika saya sedang menjangkau kawasan-kawasan baru pada tahun-tahun awal itu, orang-orang Kayanlah yang telah menolong saya. Mereka menyumbangkan kepakaran mereka menyeberangi gunung-ganang dan menyusuri sungai-sungai yang berbatu-bata. 

Kita bersama-sama mengucap syukur kepada Tuhan atas kuasa Firman-Nya yang telah mengubah orang-orang daripada lebih 20 suku dan bangsa di Sarawak dan mengikat mereka bersama dalam persekutuan iman dalam Kristus Yesus. 

Kita boleh berkongsi bersama penghiburan yang Tuhan telah janjikan kepada Leah:

"TUHAN Allahmu ada di antaramu sebagai
pahlawan yang memberi kemenangan.
Ia bergirang kerana engkau dengan sukacita, 
Ia membaharui engkau dalam kasih-Nya, 
Ia bersorak-sorak kerana engkau dengan sorak-sorai."
(Zefanya 3:17)

(Diterjemah daripada catitan Facebook Ray Cunningham bertarikh 14 Oktober 2017)