Rabu, 29 November 2017

9,800 Tandatangani Petisyen Desak Kekalkan Nama Sekolah

Sekolah St Thomas, Kuantan

LEBIH 9,800 penyokong menggesa kerajaan pertahankan nama sekolah-sekolah mubaligh di Malaysia.

Sokongan tinggi yang diterima dalam tempoh 24 jam itu dibuat melalui petisyen dalam talian change.org.

Pada 10.30 pagi tadi, petisyen bertajuk "Stop changing the name of mission schools in Malaysia" hanya kurang 200 tandatangan sahaja lagi untuk mencapai sasaran 10,000 untuk dikirim kepada kerajaan.

Ditujukan kepada Putrajaya, petisyen itu mengangkat kes sekolah mubaligh St Thomas Kuantan, Pahang yang mungkin akan kehilangan nilai sejarah memandangkan jabatan pendidikan negeri menyifatkan nama sekolah itu tidak sesuai.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang, Norol Azali Sulaiman dilaporkan berkata nama sekolah rendah dan menengah St Thomas akan ditukar kepada Sekolah Mahkota Abdullah selepas dipindahkan ke bangunan baharu nanti.

Dilaporkan bahawa Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan permohonan Jabatan Pendidikan untuk membina kompleks baharu di Kemunting untuk kedua sekolah itu, dengan peruntukan bernilai RM56 juta.

Pembinaan bangunan itu dijangka bermula tahun hadapan.

Rebecca D’Cruz yang memulakan petisyen dalam talian itu berkata, sekolah St Thomas itu hanya tinggal “nyawa-nyawa ikan dan bakal menjadi hanya sekadar lipatan dalam sejarah.”

“Ada apa pada nama?” tulisnya.

“Segala-galanya.”

Kata D’Cruz, sekolah itu berada di tanah utama di Jalan Gambut, dan berikutan pertikaian di mahkamah dengan Gereja Katolik, Jabatan Pendidikan telah mengarahkan sekolah rendah dan menengah itu kosongkan tanah berkenaan.

“Ada suara-suara yang mengatakan tapak itu berdekatan dengan bangunan Majlis Perbandaran Kuantan di Tanah Puteh, dan sekolah baharu itu akan diberi nama baharu,” katanya.

“Saya menyeru semua pelajar sekarang dan bekas pelajar, dan sesiapa sahaja yang menganggap keputusan ini salah supaya mengatakan ‘tidak’ terhadap sebarang proposal untuk menukar nama Sekolah St Thomas.”

D’Cruz berkata, ramai rakyat Malaysia dibentuk di sekolah-sekolah mubaligh di mana mereka belajar mengenai prinsip Rukun Negara dan bagaimana untuk hidup dalam kepelbagaian budaya Malaysia ini.

“Sebagai masyarakat berbilang kaum, kita diajar untuk tidak membiarkan isu agama dan kaum memisahkan kita. Banyak pengajaran penting berkaitan kehidupan telah diasuh kepada kita melalui sekolah-sekolah mubaligh seperti Sekolah St Thomas ini,” katanya.

Sekolah mubaligh dibina pada tahun 1950 oleh Pendeta British Louis Guittat, atas arahan Marist Brothers. Pada 1960, ia telah diambil alih oleh Brothers of St Gabriel.

Sepanjang operasi sekolah itu, ia telah menghasilkan ramai pelajar termasuklah kerabat diraja Pahang Putera Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad dan adiknya Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.

“Sultan Ahmad Shah Pahang menghadiri sambutan jubli perak St Thomas pada 1975,” kata D’Cruz.

“Bila reunion, bekas pelajar kerap mengunjungi bangunan sekolah menengah ini yang sekarang ini dijadikan kolej antarabangsa, selain melawat bangunan sekolah rendah yang buat masa sekarang terbengkalai.”

Minggu lalu, Ahli Parlimen DAP Bukit Gelugor MP Ramkarpal Singh menyoal Jabatan Pendidikan berkaitan keputusan untuk menukar nama Sekolah St Thomas.

Memetik kerabat Pahang antara alumni sekolah itu, Ramkarpal berkata, sekolah itu kaya dengan sejarah bukan sahaja di Kuantan malah seluruh Malaysia, yang menurutnya sama taraf dengan sekolah mubaligh lain seperti Xavier's Institution dan St Michael's Institution di Perak.

“Buat masa ini, seperti dilaporkan, saya bingung kepada nama ’St Thomas’ dianggap tidak sesuai oleh Kementerian Pendidikan.

“Saya tidak ada masalah dengan nama baharu yang dicadangkan tetapi saya sendiri tidak faham kenapa nama asalnya itu ‘tidak sesuai,’” katanya seperti dilaporkan. – 29 November, 2017.

(Diambil daripada artikel The Malaysian Insight bertajuk, "Hampir 10,000 Tandatangani Petisyen Desak Kekalkan Nama Sekolah" yang ditulis oleh Looi Sue-Chern bertarikh 29 November 2017)