Beliau bagaimanapun berkata, walaupun modus operandi yang
diguna kumpulan sama cara operasi pihak polis ia tidak bermakna itu adalah
anggota polis.
KUALA LUMPUR: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC
Fadzil Ahmat mengakui cara penculikan Pastor Raymond Koh sama dengan modus
operandi polis, tetapi ia bukannya operasi pasukan keselamatan itu.
Beliau ketika menjawab pertanyaan peguam keluarga Koh, Datuk
Jerald Gomez di depan panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
(Suhakam) mengenai kehilangan Koh dan 3 yang lain berkata, modus operandi sama
turut digunakan pihak berkuasa lain, termasuk tentera.
“Kita ada cara untuk masuk, keluar, buat tangkapan. Kalau
nak kata sama dalam video itu memang kita ada modus operandi sebegitu, sama
dari segi tektikal.
“Tapi, saya tidak kata itu adalah polis. Bagaimanapun, polis
ada menjalankan operasi dengan cara itu,” katanya selepas melihat tayangan
semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
Siastaan awam itu memasuki hari ke-11, hari ini.
Menjawab soalan Jerald mengenai pemakaian baju tertera
lencana polis ketika melakukan operasi, Fadzil berkata, bukan semua anggota
polis berbuat demikian mungkin disebabkan cuaca panas.
“Polis perlu ada lencana dan memperkenalkan diri mereka.
Jika tidak mereka bukan polis. Ada yang pakai baju ada lencana, ada yang tidak
pakai.”
Pada 19 Oktober lalu, saksi pertama siasatan awam itu,
Roeshan Celestine Gomez mendakwa seorang pegawai penyiasat dari Kelana Jaya,
memaklumkan cara Koh hilang pada Februari lalu menyerupai modus operandi polis.
Pengerusi panel siasatan awam itu, Datuk Mah Weng Kwai
bagaimanapun berkata, dakwaan cara Koh hilang seperti modus operandi biasa
polis hanya dapat dibuktikan dengan memanggil pegawai penyiasat terbabit.
Koh, 62, diculik di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks
Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu, ketika beliau dalam
perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya.
Rakaman CCTV di sebuah rumah berhampiran tempat kejadian
menunjukkan 3 kenderaan menyekat kereta Koh dan 8 individu bertopeng melarikan
beliau serta keretanya dari tempat kejadian pada waktu siang.
Sehingga kini, tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi
dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan itu.
(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "'Koh Diculik Mirip Cara Polis, Tapi Itu Bukan Operasi Kami'" yang ditulis oleh Faiz Zainudin bertarikh 23 November 2017)