Khamis, 23 November 2017

Penganjur Forum Kristologi Semak Status "Bekas Rahib" Speaker


Irene Handono dari Indonesia dijadualkan berucap di forum 'Mengenali Kristologi' bulan depan, tetapi ada dakwaan tersebar di media sosial mengatakan wanita itu bukan rahib.

KUALA LUMPUR: Penganjur forum “Mengenai Kristologi” sedang menyemak status “bekas rahib” seorang speakernya yang dicurigai sesetengah pihak.

Risalah mengenai forum itu yang bakal diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor pada 9 dan 10 Disember ini menyatakan Irene Handono ialah bekas rahib.

Bagaimanapun, tersebar dakwaan mengatakan Handono bukan bekas rahib kerana beliau ialah calon gagal dan tidak menamatkan program ditetapkan.

Seorang jurucakap penganjur forum itu, NGO Islam dikenali sebagai Nur Fitrah berkata, mereka masih “cuba mengesahkan” status Handono.

“Kami cuba mendapat maklum balas daripada rahib (mengenai perkara ini). Itu sahaja yang saya boleh beritahu anda sekarang,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Bishops Conference of Indonesia, Edy Purwanto menyangkal dakwaan Handono dan berkata, wanita itu tidak menamatkan “pengajiannya”.

Purwanto dilaporkan berkata, hasil semakan gereja Indonesia 3 tahun lalu mendapati Handono menyertai Congregation of the Ursuline Sisters sebagai rahib pelatih untuk tempoh singkat.

Ini bukan kali pertama penganjur program berkaitan agama tidak melakukan semakan secukupnya bagi memastikan status speaker jemputan mereka.

Tahun lalu, seorang pendakwah Islam, Ayub Abdul Rahman yang mendakwa beliau ialah bekas paderi Kristian di Jerman, dijadualkan berucap di konvensyen “Mahrajan Ilmu Al-Quran Sabah 2016” di Kolej Sidma Sabah.

Dalam poster yang dimuat naik ke laman Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, Ayub disifatkan bekas paderi besar di Gereja St Augustine of Canterbury di “Frankfurter”, Jerman.

Namanya dikeluarkan daripada senarai speaker pada saat akhir dan poster baharu tanpa nama Ayub dimuat naik ke laman itu beberapa jam sebelum program berkenaan bermula.

Ia disusuli sepucuk surat bertarikh 15 Januari 2016 yang muncul di media sosial menyangkal dakwaan Ayub.

Surat yang ditujukan kepada Reverend Datuk Ng Moon Hing, bishop Malaysia Barat seolah-olah mengesahkan spekulasi Ayub mungkin penyamar.

(Diambil daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "Penganjur Forum Kristologi Semak Status 'Bekas Rahib' Speaker" yang ditulis oleh Melissa Darlyne Chow pada 23 November 2017)