PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri James
Masing tiada masalah jika Bible diterjemah ke mana-mana bahasa di Malaysia,
kecuali jika ia dilakukan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
Ini kerana Mais tidak akan dapat menangkap dan memahami
nuansa agama Kristian.
“Bible boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu atau
Cina. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh terbitkan terjemahan itu.
“Cuma saya tidak setuju Mais jadi penterjemah Bible,”
katanya.
Masing turut mempersoalkan ketakutan sekitar penggunaan
kalimah “Allah” oleh Kristian.
Beliau berkata kepercayaan orang Islam tidak mudah tergugat,
terutamanya dengan penggunaan nama “Allah”.
“Kalimah ‘Allah’ ada sebelum Islam. Ada pemimpin politik di
Sarawak yang mengkaji Bible, tetapi tidak pun menyebabkan mereka kurang Islam.
“Jadi mengapa kita takut sangat kononnya membiarkan
penggunaan kalimah itu oleh orang Kristian akan menggugat kepercayaan orang
Islam?
“Bukankah lebih baik orang Kristian menggunakan perkataan
‘Allah’? Dengan itu kita semua menyembah Tuhan yang sama.”
Masing berkata rakyat Malaysia masih bersatu kerana mereka
menerima kepercayaan dan agama lain.
“Kita tidak boleh bersatu kalau kita takuti agama lain.
Tetapi ada sesetengah pihak takut pada bayang-bayang sendiri.”
(Dipetik daripada artikel Free Malaysia Today bertajuk, "TKM Sarawak: Sesiapa Pun Boleh Terjemah Bible, Kecuali Mais" yang ditulis oleh Nawar Firdaws dan Tracy Patrick bertarikh 16 November 2017)